Showing posts with label Berita Semasa. Show all posts
Showing posts with label Berita Semasa. Show all posts

17 Mayat Ditemui Bogel, Hancur Dan Diikat



JALISCO: Sebanyak 17 mayat lelaki yang dikerat-kerat ditemui di ladang tengah Mexico, kawasan yang menjadi perebutan di antara geng dadah ganas, kata pegawai hari ini.

Pendakwa raya Jalisco, Tomas Coronado Olmos berkata, mayat ditemui di bandar Tizapan el Alto sempadan antara Jalisco dan Michoacan. Kesemua mayat itu dijumpai pada ketika warga tempatan meraikan Hari Kemerdekaan.

Olmos tidak mendedahkan identiti mereka tetapi berkata, mayat dalam keadaan bogel, hancur dan diikat dengan rantai di leher mereka berdekatan lebuh raya yang menghubungkan Guadalajara dan Morelia. Mereka dibunuh di tempat lain dan dicampak di kawasan ladang berkenaan. - AP



Gadis Badang Cipta Rekod Baru


SUNGAI BULOH – Ketika berusia sembilan tahun, D Shanmuga Priya pernah melakar sejarah tersendiri dengan menarik van seberat 1.3 tan menggunakan rambut sejauh 57.7 meter.

Namun semalam, gadis yang kini berusia 20 tahun itu mengulangi kejayaan sekali lagi apabila berjaya menarik van berat yang sama tanpa henti sejauh 96.4 meter sekali gus memecahkan rekod dibuatnya sendiri 11 tahun lalu dan tercatat di dalam Malaysia Book Of Record.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia sama sekali tidak menyangka berjaya menarik van sejauh itu sedangkan sasaran awalnya hanya 70 meter.

“Apa yang saya buat ini adalah berdasarkan latihan menarik lori 1.2 tan setiap minggu selama sebulan selain mengamalkan makan hanya buah dan sayuran,” katanya.

Menurutnya, teknik pernafasan juga memainkan peranan penting bagi memastikan dia tidak cepat penat selain mengamalkan petua lain termasuk bersenam setiap hari.

Penuntut Kolej Segi itu berkata, kejayaannya turut didorong oleh keluarga terutama bapanya, G Devendiran, 56.

"Ini adalah hadiah untuk rakyat Malaysia sempena Hari Malaysia yang jatuh pada hari ini (semalam) dan selepas ini saya berhasrat untuk menarik sebuah kapal terbang pula," katanya.

Persembahan sempena Hari Malaysia anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Damansara di Kampung Baru Sungai Buloh itu turut memperlihatkan aksi bapanya bergantung pada kren setinggi 15 meter menggunakan rambut selama lima minit.

Devendiran sebelum ini pernah menarik kapal seberat 110 tan menggunakan rambut dan van seberat 1.3 tan mengguna cuping telinga 10 tahun lalu.



Kawan ‘Makan’ Kawan Cacat

ALDOUS (kiri) membantu Stringer di majlis perkahwinan bekas tentera itu baru-baru ini

LONDON: Seorang pengapit pengantin ditahan kerana disyaki mencuri 85,000 (RM 420,843) daripada rakannya - seorang bekas tentera kurang upaya - yang baru berkahwin.

Connor Aldous, 21, menjadi pengapit ketika Alex Stringer dikahwinkan dengan wanita yang menjadi temannya sejak kecil.

Stringer adalah veteran tentera Britain yang pernah berkhidmat di Afghanistan, tetapi kehilangan kedua-dua kaki dan tangan kirinya akibat terkena jerangkap samar Taliban.

Dia menggunakan anggota palsu dan terpaksa dipapah Aldous di majlis perkahwinannya.

Di sebalik ‘kebaikan’ itu, Aldous disyaki mengeluarkan dari bank 35,000 (RM173,288) daripada 800,000 (RM3.9 juta) pampasan diterima Stringer akibat kecacatan kekal dialaminya.

Tidak cukup dengan itu, Aldous juga meminjam 50,000 (RM247,555) wang Stringer dan ia tidak pernah dibayar semula.

Stringer yang menganggur mengenali Aldous sejak mereka bersekolah dan dia menumpang di rumah bekas tentera itu yang tinggal bersama isterinya, Danielle, 20, di Canvey Island, Essex.

Jurucakap polis berkata, Aldous ditangkap Jumaat lalu dan akan ditahan sehingga Oktober untuk membolehkan siasatan dijalankan, Sementara itu, Stringer berkata, dia menganggap Aldous seperti saudara kandung sendiri dan memberikan segala yang diperlukannya.

“Kami mempercayai Aldous dan menyediakan tempat tinggal untuknya,” katanya. Stringer berkhidmat dengan Kor Logistik Rejimen Pioneer Ke-23 ditimpa kemalangan di Afghanistan pada Januari tahun lalu. Hasil hubungannya dengan Danielle, mereka mendapat dua anak, masing-masing berusia empat dan satu tahun.

Pasangan itu bakal mendapat anak ketiga musim panas ini.

Tindak-tanduk Aldous disedari apabila Stringer mengesan rakannya itu membuat banyak pengeluaran dari akaun banknya dalam tempoh 12 bulan.

Katanya, pada hari tertentu, Aldous membuat sehingga lapan pengeluaran wang sehari. - DM




Maut Angkara Cinta Ditolak


ANAK panah menunjukkan arah Nurul Syafika terjatuh lalu mati di Kondominium PV13, Setapak semalam. 

KUALA LUMPUR - Seorang gadis yang kecewa apabila cintanya tidak dibalas sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memohon maaf kepada rakan-rakan dan kenalan lelakinya sebelum dia maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 23 di Kondominium PV13, Jalan Genting Klang, Setapak di sini semalam.

Kejadian pukul 4 pagi itu mengakibatkan Nurul Syafika Jamaluddin, 24, maut akibat cedera parah di kepala dan badan. Mangsa dikatakan baru menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Mayat mangsa ditemui oleh seorang penghuni kondominium yang terdengar bunyi seperti objek terjatuh dan sebaik ditinjau, dia terkejut apabila menemui mangsa yang lengkap berpakaian dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah.

Difahamkan, mangsa menyewa bersama abangnya di Seri Kembangan, Selangor dan datang ke premis itu untuk bertemu dengan teman lelakinya yang menetap di tingkat 23. Mereka berkenalan sejak tiga bulan lalu dan lelaki itu merupakan seorang kerani di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya.

"Ketika kejadian, lelaki berusia 24 tahun tersebut tiada di rumah dan mangsa memasuki rumah berkenaan dengan menggunakan kunci pendua.

"Siasatan awal percaya mangsa terjatuh kerana mempunyai masalah peribadi selepas cintanya ditolak namun motif sebenar kejadian masih disiasat," kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Muar, Johor dikatakan sempat menghantar SMS kepada abangnya memaklumkan dia akan pulang ke rumah. Mangsa turut menghantar SMS memohon maaf kepada rakan-rakan termasuk kenalan lelakinya itu.

Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, dia menyedari kejadian itu ketika bangun untuk menunaikan solat dan terdengar bunyi kecoh di luar bangunan.

"Saya tidak pernah nampak dia (mangsa) sebelum ini, tetapi difahamkan dia terjatuh ketika berada di tingkat 23," dakwanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. -kosmo




Wanita Turki Tembak Alat Sulit Dan Penggal Kepala Perogol


Nevin (gambar kanan, atas) menembak dan memeggal Nurettin yang merogolnya selama lapan bulan. Foto utama menunjukkan kepala Nurettin (dibulatkan). – Foto ihsan crimelibrary

SEORANG wanita Turki sedang menunggu perbicaraannya selepas dia ditahan kerana memenggal kepala seorang lelaki yang dikatakan merogolnya berulang kali selama lapan bulan.

Wanita berkenaan membunuh lelaki itu demi maruah diri, kata peguamnya.

Nevin Yildirim, 26, ibu kepada dua cahaya mata, tinggal di sebuah kampung kecil di barat daya Turki.

Menurut sumber yang dekat dengan kes, lelaki durjana itu, Nurettin Gider dikatakan mula menyerang wanita itu beberapa hari selepas suaminya meninggalkannya pada Januari lalu untuk bekerja di bandar lain.

Tambah sumber itu, Nurettin telah mengancam Nevin dengan pistol dan mengugut akan membunuh anak-anaknya yang berumur dua dan enam tahun jika dia bising.

“Selepas itu, itu adalah pertama kali Nevin dirogol dan kemudiannya perbuatan itu terus berulang selama lapan bulan.

“Pada satu ketika, Nevin berkata, Nurettin menyelinap ke dalam rumahnya ketika dia sedang tidur dan mengambil gambar dia dan salah sekeping gambar itu menunjukkan badannya yang sedang berbadan dua.

“Lebih kejam, Nurettin mengugut untuk menyiarkan gambar jika dia tidak taat kepadanya,” kata sumber itu lagi.

Di kampung-kampung kecil di negara itu, harga diri seorang wanita adalah segala-galanya dan penghormatan itu menjadi beban kepada keluarga mereka.

Sementara itu, gambaran buruk yang berlaku ke atas Nevin, boleh mendatangkan bahaya kepada keluarganya.

Pada 28 Ogos lalu, ketika sedang sarat mengandung lima bulan, Nevin akhirnya memutuskan untuk menghentikan tindakan lelaki itu dari terus merogolnya.

Ketika Nurettin memanjat dinding belakang rumahnya, "saya tahu dia akan rogol saya lagi," katanya pada pendengaran awal pada 30 Ogos lalu.

Nevin berkata, ketika itu, dia mengambil senapang bapa mertuanya yang tergantung di dinding dan menembaknya.

Nurettin bagaimanapun cuba merampas senapang itu tetapi gagal dan Nevin ‘menghadiahkan’ sedas lagi tembakan.

"Saya mengejar dia," katanya. "Dia jatuh di atas tanah dan mula mengerang kesakitan. Saya kemudiannya menembak organ seksualnya dan lelaki itu terus diam.

“Saya tahu dia telah mati dan kemudian memotong kepalanya," katanya.

Saksi kejadian berkata, Nevin berjalan ke sekeliling kampung membawa kepala lelaki itu sambil menggenggam rambutnya.

"Jangan bercakap di belakang saya, jangan bermain dengan penghormatan saya.

"Ini ialah kepala manusia yang bermain dengan penghormatan saya," katanya kepada seorang lelaki yang duduk di sebuah kedai kopi.

Nevin kemudiannya melemparkan kepala Nurettin ke tanah, kata saksi.

Tidak lama kemudian, jurukamera dari agensi penyiar Turki, DHA yang tiba di tempat kejadian sebelum pihak berkuasa, berjaya merakamkan kepala Nurettin di atas tanah.

Selepas kejadian itu, pihak berkuasa memanggil saksi untuk membantu siasatan dan wanita itu ditangkap.

Nurettin, 35, merupakan bapa kepada dua anak yang berusia sembilan dan 15 tahun. Dia telah berkahwin dengan ibu saudara suami Nevin.

Menurut sumber, ketika diadili, Nevin memberitahu dia menyesali apa yang berlaku.

"Pada mulanya saya ada terfikir untuk melaporkan kejadian yang menimpanya kepada pihak polis ataupun peguam daerah, tetapi saya tidak mahu dikatakan sebagai perempuan murahan.

"Daripada saya mendapat reputasi yang buruk, saya telah membuat keputusan untuk membersihkan maruah diri saya dan membunuhnya.

“Saya juga terfikir untuk membunuh diri tetapi saya tidak tergamak melakukannya,” kata Nevin yang bimbang orang ramai akan menghakimi anak-anaknya atas apa yang berlaku.

"Sekarang tiada siapa yang boleh memanggil anak-anak saya haram.

"Saya telah membersihkan penghormatan saya. Semua orang akan memanggil anak-anak saya sebagai ‘anak-anak wanita yang dibersihkan maruahnya,” katanya.

Tambah sumber itu lagi, Nevin telah pergi ke sebuah klinik kesihatan untuk melakukan pengguguran, tetapi jururawat memberitahunya adalah mustahil untuk meneruskan hasratnya itu kerana dia sudah 14 minggu hamil.

Pemerhati Hak Asasi Manusia berkata, di Turki, pengguguran dibenarkan hanya semasa 10 minggu pertama kehamilan dan selain itu pengguguran hanya dibenarkan untuk kes-kes untuk menyelamatkan nyawa atau kesihatan ibu atau dalam kes-kes kerosakan janin sahaja.

Sewaktu kes Nevin dibicarakan, dia mengakui tidak mahu menjaga bayi itu dan lebih rela mati.

Pejabat pendakwa raya telah mengarahkan pemeriksaan perubatan dijalankan ke atasnya untuk mematikan sama ada Nevin pernah membuat pengguguran yang mungkin mengganggu kestabilan mentalnya, kata sumber itu.

Bapa Nevin, Zekeriya Yildiz berkata, DNA anak perempuannya menunjukkan tidak ada elemen sumbang muhrim di kalangan keluarganya.

"Jika dia ada memberitahu kami, kita akan mengambil langkah berjaga-jaga lain," katanya.

Sementara itu, Nevin kini ditempatkan di penjara tempatan sementara menanti hari perbicaraan.

Dalam satu laporan tahun lepas, kumpulan pemerhati Hak Asasi Manusia menjelaskan bahawa terdapat jurang dalam undang-undang Turki di mana gadis dan wanita tidak dilindungi daripada penderaan domestik.

Mereka mendapati, kira-kira 42 peratus wanita yang berusia lebih 15 tahun tinggal di bandar dan 47 peratus wanita berada di luar bandar dilaporkan mengalami keganasan fizikal atau seksual sama ada oleh suami atau pasangan mereka.

“Dia telah hidup dalam trauma yang sangat dahsyat.

“Dia mesti didakwa kerana mempertahankan diri," kata ahli sosiologi di Universiti Akdeniz dan ahli Organisasi Sokongan Wanita Antalya, Gursel Oztunali Kayir.



Bisa Labah-Labah Ubat Mati Pucuk


London: Satu ubat yang diperbuat menggunakan cecair bisa labah-labah paling berbisa di dunia mungkin boleh menjadi penawar terbaik mati pucuk. 

Penyelidik dari Brazil dan Amerika Syarikat mendapati, bisa labah-labah ‘Wandering Spider’ dari Brazil mengandungi toksin yang membantu aliran darah dan seterusnya menghilangkan mati pucuk selepas 20 minit memasuki sistem tubuh, lapor akhbar di sini. Bunuh ramai orang 
Labah-labah berkenaan bertanggungjawab membunuh lebih ramai orang berbanding spesies lain. Mangsa yang kena bisanya biasanya maut selepas sejam kena gigitan. 

Beberapa ujian yang dilakukan pada tikus menunjukkan prestasi aliran darah meningkat selepas bisanya memasuki badan dan melepaskan oksid nitrik, sejenis kimia yang mencairkan darah dan membantu aliran darah menjadi lebih baik. 

Proses itu sama seperti yang dilakukan ubat anti mati pucuk. Meskipun ubat seperti Viagra, Cialis dan Levitra berjaya membantu ramai lelaki sejak 10 tahun lalu, 30 peratus lelaki masih mendapati prestasi mereka masih sama. 

Oleh itu, ubat daripada bisa labah-labah mungkin dapat menjadi kaedah lain. - Agensi




Kolam Awet Muda Jadi Tumpuan


RIBUAN pengunjung membanjiri Kolam Banyu Biru, Pasuruan yang airnya dikatakan mempunyai khasiat awet muda. - AGENSI
PASURUAN, Jawa Timur - Beribu-ribu pengunjung membanjiri Kolam Banyu Biru di Winongan di sini pada setiap kali cuti Hari Raya Aidilfitri kerana airnya dikatakan mempunyai khasiat awet muda.

Malah, jumlah pengunjung mampu mencecah sehingga 5,000 orang pada satu-satu masa.

Koordinator Kolam Alam Banyu Biru, Djuma'adi berkata, pada tahun ini, kira-kira 5,000 pengunjung termasuk dari luar wilayah Pasuruan datang ke tempat perkelahan itu pada hujung minggu lalu.

Katanya, berbanding tahun lalu, jumlah pengunjung yang datang ke kolam terbabit meningkat tinggi pada tahun ini.

"Ekoran sambutan menggalakkan, pengelola Kolam Alam Banyu Biru menaikkan harga tiket masuk kepada 9,000 rupiah (RM2.80) sepanjang cuti Aidilfitri berbanding 5,000 rupiah (RM1.60) pada hari-hari biasa," katanya kepada beritajatim.com.

Difahamkan, jumlah pengunjung di kolam itu sentiasa meningkat setiap tahun kerana ramai yang percaya mereka akan menjadi awet muda sekiranya mandi di situ. - AGENSI




Legenda Neil Armstrong Meninggal Dunia Bersama 'Misteri'

Gambar fail Nasa bertarikh 20 Julai 1969 menunjukkan Neil Armstrong berada dalam model lunar selepas mendarat di permukaan bulan. - Foto EPA 

Gambar fail Nasa bertarikh 20 Julai 1969 menunjukkan Neil Armstrong berada di bulan. - Foto EPA

LEGENDA Neil Armstrong, orang pertama yang berjaya menjejakkan kaki di bulan, meninggal dunia hari ini.

Bagi kebanyakan orang, Armstrong seorang hero Amerika Syarikat (AS) yang melakukan misi mustahil. Beliau memenuhi visi mendiang Presiden John F. Kennedy yang meletakkan seorang lelaki di bulan di sebelum akhir dekad.

Armstrong berjalan di bulan melaui paparan di televisyen dan disaksikan oleh 500 juta manusia empat dekad lalu.

Ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan mencetuskan harapan untuk manusia menjelajah ke ruang angkasa lepas selepas itu.

Apa yang Armstrong alami hari itu menjadi kontroversi apabila siaran radio senyap selama dua minit serta mengejutkan penonton dan menimbulkan banyak teori apa sebenarnya berlaku.

Menurut maklumat gambar dokumen-dokumen kerajaan yang bocor, Armstrong bukan hanya melihat ketandusan permukaan di bulan ketika itu, tetapi sesuatu yang lebih penting.

Merujuk dakwaan pihak dalaman agensi angkasa lepas, Nasa dan radio HAM dikatakan memintas penghantaran, apa yang Armstrong saksikan itu mengubah hidupnya, dan membawa kepada pengabaian misi lunar yang dikendalikannya.

Menurut dokumen yang bocor, dua kapal angkasa besar menonton pendaratan Apollo 11 dan melihat Armstrong dan Buzz Aldrin berjalan di bulan.

Semasa Apollo 11 melakukan pendaratan, selama dua minit radio menjadi senyap.

Menurut Nasa, masalah ini timbul dari salah satu daripada dua kamera televisyen yang terlalu panas, sekali gus mengganggu penerimaan isyarat.

Sebenarnya apa yang berlaku, menurut pelbagai sumber, Armstrong dan Aldrin dilihat oleh satu objek lain semasa proses mendarat di bulan.

Menurut Timothy Baik, pengarang Above Top Secret (1998) operator radio HAM menerima isyarat VHF yang dihantar dari Apollo 11 ke ibu pejabat Houston Nasa, memintas mesej yang disaring oleh Nasa daripada orang ramai berikutan tempoh dua minit radio hilang siarannya.

Kemudian pada 1979, Maurice Chatelain, bekas jurutera komunikasi Nasa berkata, detik Armstrong melihat dua UFO di kawah lunar telah disembunyikan daripada pengetahuan media dan umum oleh Nasa.

"Pertemuan ini adalah pengetahuan umum dalam Nasa, tetapi tiada siapa yang telah bercakap mengenainya sehingga kini," kata Chatelain. Katanya: "... semua penerbangan Apollo dan Gemini telah diikuti, kedua-duanya pada jarak dan kadang-kadang agak rapat, oleh kenderaan angkasa yang berasal dari ruang angkasa - piring terbang atau UFO.

Setiap kali ia berlaku Misi Kawalan diarah untuk menjadi senyap secara mutlak."

Kehilangan dua minit disebabkan radio menjadi senyap semasa Apollo 11 mendarat, satu cubaan oleh Nasa dibuat untuk menutup keadaan sebenar yang dilihat oleh Armstrong di bulan? Adakah UFO yang dilihat?

Menurut Aldrin dalam beberapa wawancara akhbar, Appollo 11 sememangnya merakam UFO semasa dalam perjalanan ke bulan. Aldrin menerangkan bagaimana angkasawan Apollo 11 mengelak menyebut perkataan UFO dan sebaliknya meminta Houston tentang lokasi pelancaran roket Saturn V.

Kebenaran Aldrin masuk menyebabkan gangguan dua minit siaran radio bukan disebabkan UFO dan Armstrong membuat laporan tentang ini. Pandangan Aldrin juga menyokong Chatelain bahawa terdapat lebih daripada satu kenderaan ruang angkasa menonton pendaratan Apollo 11 di bulan.

Adakah terdapat mana-mana sumber lain yang menyokong tuntutan kontorversi bahawa Armstong telah menyaksikan dua kenderaan di ruang angkasa ke atas lunar yang menonton pendaratan Apollo 11.




Remaja Cucuk Mata Buaya Ganas

Austin Chin mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak di Kuching

KUCHING – Tindakan berani seorang remaja menendang kepala dan mencucuk mata seekor buaya dengan jari tangannya berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi korban reptilia ganas itu ketika dia

mandi-manda bersama rakan di pantai Pasir Panjang dekat sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Ashley Austin Chin, 14, bersama lima rakan bermandi-manda selepas selesai memancing sebelum kaki kanannya tiba-tiba disambar buaya serta mengheretnya ke dalam air.

Panik diheret dan bergelut kira-kira tiga minit dengan reptilia sepanjang dua meter itu, Ashley terus menjerit dan meronta-ronta.

Dia akhirnya sempat menendang kepala Sang Bedal sebelum reptilia itu cuba pula menerkam kaki kirinya.

“Pada mulanya saya ingat kawan saya bermain dan menarik kaki saya, namun selepas saya berpusing ke belakang, saya ternampak seekor buaya.

“Saya sempat berpusing dua kali dalam air walaupun kaki masih dalam mulut buaya dan tendang kepala sambil mencucuk mata buaya itu dengan jari tangan hinggalah kaki saya dilepaskannya,” ceritanya kepada Kosmo! ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS)



Tak Berbaloi Nak Cantik

TAK BERKUALITI...kanta lekap yang menyebabkan penglihatan Nabila menjadi kabur.

KLANG: Gara-gara memakai kanta lekap berwarna jenis murah dan tidak berkualiti, seorang gadis berusia 18 tahun dari Kapar, di sini, kini berdepan masalah penglihatan sehari selepas memakainya.

Nabila Rosli yang membeli kanta lekap itu dengan RM25 sepasang di Seremban, Khamis lalu, berkata sejurus bangun daripada tidur esoknya, dia tidak boleh melihat apabila kedua-dua mata sakit dan membengkak teruk.

Kejadian itu turut menyebabkan penglihatan mata pelajar kolej di Seremban itu menjadi kabur selama dua hari.

Malah, sambutan Aidilfitri yang sepatutnya ceria bertukar muram berikutan dia tidak boleh berjalan jauh disebabkan mata bengkak dan penglihatan kabur.



Gemuk Lepas Puasa

Wanita Indonesia membeli daging sebagai persiapan menyambut Aidilfitri di Jakarta. - Foto AP

Jakarta: Ketika rakyat Indonesia menantikan kedatangan Aidilfitri yang banyak menyajikan pelbagai makanan sepanjang cuti seminggu, doktor bersedia berdepan dengan rungutan pertambahan berat badan mendadak.

Berjuta-juta rakyat di negara paling ramai umat Islam itu secara tradisi meraikan Aidilfitri dengan melawat keluarga dan saudara, dalam perhimpunan yang menyaksikan makanan tradisi kaya gula dan lemak menjadi tumpuan.

Rendang daging, opor ayam juadah pilihan

Walaupun tiada kajian mengaitkan majlis perayaan dengan pertambahan berat badan, doktor berkata ramai pesakit mengunjungi mereka selepas berterusan memakan hidangan seperti rendang daging dan opor ayam.

Umat Islam di seluruh dunia berpuasa daripada terbit fajar hingga terbenam matahari untuk memenuhi salah satu tuntutan Rukun Islam. Metabolisme tubuh perlahan ketika berpuasa dan terus bertindak seperti itu selepas Ramadan berakhir.

Orang ramai cenderung makan banyak ketika Aidilfitri. Selepas sebulan menahan diri daripada makan, mereka mengambil semua hidangan berlemak dalam jumlah banyak sehingga ke tahap paras gula dalam darah meningkat, begitu juga paras kolesterol dan berat badan bertambah, kata ketua Persatuan Diet Indonesia, Martalena Purba, sambil menambah pesakitnya selalu bertambah sehingga 40 peratus selepas bercuti.

Indonesia ialah ekonomi terbesar Asia Tenggara, dengan penduduk seramai 240 juta, dan dengan kemewahan ia berdepan masalah obesiti yang semakin bertambah, terutama di kawasan bandar seperti Jakarta.
Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan, 21.7 peratus penduduk berusia 18 tahun ke atas mempunyai kiraan indeks jisim tubuh (BMI) melebihi 27 pada tahun 2010, menjadikan mereka memiliki berat badan berlebihan.

Obesiti di kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun pula 14 peratus pada tahun 2010, bertambah daripada 12.2 peratus pada tahun 2007, menurut statistik.
Cuti Aidilfitri bermula hari ini di Indonesia dan penduduk Jakarta berkata, mereka tidak sabar meraikan hari mulia itu dengan orang tersayang.

Suri rumah, Ali Hayar, 50, berkata beliau bercadang membeli lima kilogram daging dan tiga kilogram perut babat bagi membuat rendang untuk keluarganya dan tetamu.

Kami selalunya melawat empat atau lima rumah saudara sehari dan memakan nasi, kari, biskut, minuman manis sambil berbual, katanya.
Agensi



Cemas Kereta Api Terbalik


Gua Musang : Kira-kira 1,000 penumpang yang dalam perjalanan pulang menyambut Aidilfitri menaiki Ekspres Wau dari Kuala Lumpur ke Tumpat, menempuh detik cemas apabila dua daripada 14 koc terbalik di Kampung Sungai Yu, dekat Kuala Lipis, awal pagi semalam.

Penumpang terpelanting beberapa kali di dalam gerabak itu dalam keadaan bertindih antara satu sama lain, sebelum merangkak keluar menerusi cermin pintu gerabak yang dipecahkan.
11 penumpang cedera

Dalam kejadian jam 6.45 pagi di antara Stesen Keretapi Kuala Lipis dengan Gua Musang itu, 11 penumpang cedera, tiga daripadanya parah, termasuk seorang ibu hamil tujuh bulan.

Daripada tiga mangsa yang parah, seorang luka muka, manakala dua lagi masing-masing patah tangan dan patah pinggang serta dirawat di Hospital Gua Musang.

Kedua-dua koc penumpang yang terbalik itu ialah koc Kelas 1 dan koc tidur, dengan sebahagian besar penumpangnya dikatakan sedang tidur ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ab Razak Hassan, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) punca kejadian itu.
Kita cuma dapat sahkan 11 penumpang cedera, namun identiti mereka belum diperoleh. Kereta api itu dapat teruskan perjalanan kira-kira dua jam kemudian, katanya.

Abdul Razak berkata, laporan kejadian dibuat kakitangan KTMB berusia 40 tahun di Balai Polis Merapoh, selepas dua jam berjalan keluar dari lokasi kemalangan itu.

Gerabak bergegar kuat

Penumpang, Nor Atikah Zakari, 21, berkata ketika kejadian beliau masih terjaga dan gerabak yang dinaikinya tiba-tiba bergegar dengan kuat dipercayai selepas terputus dari sambungan dengan lokomotif.

Dalam sekelip masa, saya terhumban bersama penumpang lain. Suasana tiba-tiba menjadi kelam kabut dengan semua penumpang berusaha menyelamatkan diri, katanya.



10 Tahun Garfu Dalam Perut


BARNSLEY: Apabila Lee Gardner bergegas ke hospital selepas muntah darah dan mengalami sakit perut yang amat sangat, dia bimbang keadaannya kesihatannya itu lebih teruk lagi.

Bagaimanapun, doktor di Barnsley terkejut apabila menemui garfu sembilan inci dalam perut lelaki itu dan lebih mengejutkan, ia berada di situ sejak lebih 10 tahun lalu.

Pakar perubatan itu bertambah keliru lagi apabila Garner, 40 berkata, dia langsung tidak ingat tertelan garfu berkenaan.

Sepuluh tahun lalu, doktor berkata, garfu itu akan melalui sistem penghadamannya secara semula jadi dan dia menjangka ia sudah tidak ada lagi.

Tetapi, ia sebenarnya masih berada di dalam perutnya.

Garner kini sudah pulih sepenuhnya.

“Saya muntah darah dan apabila mereka memeriksa perut saya dengan kamera, doktor bertanya: ‘Adakah anda pasti anda tidak menelan sesuatu?’” katanya.

“Saya memberitahu mereka tidak tetapi doktor itu bertanya lagi: ‘Anda pasti?
Saya melihat sesuatu seperti garfu?’ Saya teringat menelannya secara tidak sengaja beberapa tahun lalu.

“Saya begitu terkejut. Saya tidak pernah menghadapi masalah dengan perut saya, kecuali beberapa tahun sebelum ini apabila saya merasakan ada sesuatu di dalam perut saya apabila saya membongkok.”

Tetapi nasihat doktor selepas saya tertelannya ialah ia akan melalui sistem penghadaman dalam perut saya dan itu sudah lama berlaku. Saya tidak pernah terfikir ia disebabkan garfu itu.

Gardner teringgat bagaimana dia bermain dengan garfu plastik dalam mulutnya beberapa tahun lalu apabila dia tercekik dan menelannya secara tidak sengaja.

Doktor di Hospital Barnsley menggunakan kamera untuk melihat dalam perutnya bagi mencari punca kesakitan yang dialami Garner apabila menemui objek misteri itu.

Imej menunjukkan kepala garfu itu terletak dalam perutnya dengan pemegangnya tersembul pada usus kecil.

Kepala garfu itu menekan pada perutnya hingga menyebabkan ulser yang membawa kepada pendarahan. - DM



Gambar Suspek Kes Bakar Gadis Di Wangsa Maju

Salam...
Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan saspek berhubung kejadian remaja perempuan 16 tahun yang di bakar di kawasan semak berdekatan Seksyen 1, Wangsa Maju, awal pagi semalam.

Nama: MOHD AMIR BIN MOHD ANUAR
Umur : 18 Tahun

Orang ramai yang mengenali suspek bolehlah menyalurkan maklumat ke Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ditalian 03- 21460522 samb. 597 atau mana-mana balai Polis yang berhampiran atau melalui Hotline Polis KL (Rakan Cop) di talian 03-21159999 atau SMS POLISKL ke 32728.

Sumber Polis KL...

Nurul Firzanah dipercayai dibakar teman lelakinya di kawasan semak berdekatan Seksyen 1, Wangsa Maju jam 3.15 pagi ketika keluar untuk berjumpa teman lelakinya dipercayai untuk bersahur.

Mangsa disimbah petrol sebelum dibakar menyebabkan terbakar lebih 25 peratus dari muka hingga ke pusatnya dan dilaporkan kritikal.



Lelaki Mati Dalam Flat Dipenuhi Sampah

SINGAPURA - Seorang lelaki Singapura berusia 76 tahun ditemui mati di dalam flatnya yang penuh dengan timbunan sampah sarap sehingga ke siling, menurut satu laporan semalam.

Akhbar Straits Times melaporkan, lelaki berkenaan yang tinggal bersendirian gemar menyelongkar tong-tong sampah sejak sedekad lalu.

Pasukan kecemasan dilaporkan mengambil masa hampir sejam untuk membuka pintu flat berkenaan yang berkunci pada Isnin lalu selepas beberapa jirannya mengadu mereka terhidu bau busuk dari kediaman tersebut.

Menurut laporan tersebut, petugas-petugas kecemasan mengambil masa hampir sejam lagi untuk mencari mayat warga emas yang berada di celah timbunan sampah sarap di flat empat bilik itu.

Dalam perkembangan berkaitan, polis mengesahkan semalam mereka menemui mayat seorang lelaki berusia dalam lingkungan 70-an di dalam sebuah flat perumahan awam.

Menurut polis, pihaknya menyiasat kes tersebut sebagai kematian luar biasa.

Seorang jiran mangsa pula memberitahu Straits Times bahawa tabiat lelaki itu menyelongkar tong sampah bermula selepas isteri dan anak perempuannya berpindah keluar dari flat berkenaan sekitar 10 tahun lalu.

Lelaki berkenaan akan menyelongkar tong-tong sampah sekitar kawasan kediamannya dan memasukkan barangan yang dikutip ke dalam beberapa beg plastik di flatnya.

"Apabila saya tanya apa yang terdapat di dalam beg-beg itu, dia menyatakan, harta karun," ujar jiran tersebut.

Menurut jirannya, flat lelaki itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik manakala pintu depannya dipasang dengan beberapa mangga kunci.

Singapura memiliki populasi warga emas yang tinggi dengan semakin ramai orang tua tinggal bersendirian.

Menurut beberapa pegawai, sekitar 20 peratus rakyat Singapura akan berusia 65 tahun atau lebih tua menjelang 2030. - AFP



Mati Ngeri Digilis, Diseret Treler


MELAKA – Seorang pelajar menemui ajal dalam keadaan mengerikan apabila dia digilis dan diseret sejauh 50 meter oleh sebuah treler membawa muatan jubin dalam kemalangan di Lebuh Ayer Keroh berhampiran Hospital Pantai di sini kelmarin.

Kejadian pukul 10 malam itu mengakibatkan Muhammad Nazhif Sharif, 17, (gambar) mati di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan ke pusat bandar untuk membeli baju raya di Ayer Keroh.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah kereta Proton Wira sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.

“Pada masa sama, sebuah treler yang berada di belakang menyambar tubuh mangsa lalu diseret sejauh 50 meter sebelum kenderaan berat itu berhenti,” katanya.

Sementara itu, mengimbau semula tragedi itu, rakan mangsa, Ng Kok Leng, 16, berkata, sebelum kejadian dia dan dua rakan termasuk mangsa baru pulang dari sebuah pasar raya.

Katanya, mangsa kemudian mengajak mereka ke Bazar di Taman Cempaka, Peringgit untuk mencari baju raya selepas pakaian di pasar raya itu tidak berkenan di hatinya. Jarak antara dua tempat itu kira-kira lima kilometer.