Empat Penyamun Indon Ditembak Atok 60 Tahun

KUALA LUMPUR: Sekumpulan empat lelaki yang cuba menyamun sebuah rumah di Bukit Ledang, Brickfields, di sini, bukan saja gagal, tetapi bernasib malang apabila seorang rakan mereka mati ditembak penghuni rumah berkenaan yang berusia 60 tahun, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, kejadian berlaku jam 2.30 pagi apabila suspek memecah masuk rumah mangsa sebelum disedari mangsa yang juga ahli perniagaan yang memiliki lesen senjata api apabila terdengar bunyi bising.

“Mangsa memeriksa bunyi bising itu dan sebaik terserempak kumpulan penyamun yang bertopeng terbabit, dia melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai seorang daripada suspek.

“Bagaimanapun, tiga lagi suspek yang terperanjat dengan tindakan itu melarikan diri dan polis kini giat memburu mereka,” katanya.

Katanya, penjenayah yang ditembak mati itu dikenali sebagai Adhitia, 37, yang berasal dari Jakarta, Indonesia, berdasarkan pasport yang ditemui bersama lelaki terbabit.

“Siasatan awal berdasarkan keterangan mangsa, kumpulan penjenayah terbabit memecah masuk rumah menggunakan pemutar skru dan bersenjatakan celoret untuk menyamun mangsa.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata dan polis giat memburu ketiga-tiga suspek yang melarikan diri,” katanya.

Suami Hutang Along Ugut Jual Anak

KUALA LUMPUR: Bukan saja disepak terajang, seorang wanita berusia 25 tahun turut diugut bunuh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Cheras, di sini, Ahad lalu.

Lebih membimbangkan apabila suami mangsa berusia lewat 20-an itu turut mendakwa mahu menculik dan menjual dua anak mereka bagi melunaskan bayaran pinjamannya kepada along.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, suami mangsa mengugut untuk menyebarkan gambar bogel isterinya yang dirakam ketika bersama jika mangsa tidak memberinya wang.

Sumber berkata, sebaik pulang ke rumah, suami mangsa yang berada dalam keadaan marah meminta wang daripada mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa mendakwa tidak mempunyai wang menyebabkannya ditumbuk dan diterajang.

“Biarpun dirayu, suami mangsa memukul dan memaksanya menyerahkan wang,” katanya.

Menurut sumber, mangsa yang bertegas tidak mempunyai wang menyebabkan suaminya mengugutnya.

“Lelaki terbabit mendakwa mahu membunuh mangsa, malah akan menjual dua anak mereka bagi melunaskan pinjaman along,” katanya.

Katanya, penderitaan mangsa tidak berakhir di situ apabila suaminya sekali lagi mendakwa mahu menyebarkan rakaman video dan gambar bogel mangsa ketika mandi dan bersama dengannya.

“Tersentak dengan ugutan berkenaan, mangsa merayu suaminya itu sebelum diberi tempoh seminggu untuk menyediakan wang.

“Suami mangsa meninggalkan rumah sebelum mangsa menghubungi keluarganya untuk dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Remaja Gantung Diri Akibat Dimarahi Guru

IPOH – Seorang remaja perempuan ditemui mati tergantung dipercayai membunuh diri dalam bilik tidurnya dipercayai tertekan selepas dimarahi gurunya di Taman Pertama di sini, kelmarin.

Lebih mengharukan apabila ibu mangsa pula hampir membunuh diri dengan mengelar tangan kirinya menggunakan pisau kerana terlalu sedih melihat anak kesayangannya itu tergantung menggunakan selimut.

Bagaimanapun, ibu mangsa yang enggan dikenali sempat menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan didapati keadaannya semakin stabil.

Dalam kejadian pada jam 6 petang, pelajar tingkatan dua, sebuah sekolah di sini ditemui ibunya tidak bernyawa setelah mengurung diri dalam biliknya sebaik pulang dari sekolah.

Salah seorang ahli keluarga mangsa yang hanya dikenali sebagai Logan berkata, remaja itu bertindak demikian kerana sedih dimarahi gurunya di sekolah dan dikatakan mahu mengadu kepada ayahnya yang bertugas sebagai polis di balai berhampiran.

“Mereka tidak mempunyai masalah besar dalam keluarga dan dia sangat rapat dengan abangnya yang berusia 19 tahun. Dia juga tidak memaklumkan apa-apa masalah kepada kami,” katanya di perkarangan Unit Forensik HRPB di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya mengesahkan kejadian berkenaan dan mendapati kematian mangsa tiada unsur jenayah.

“Kejadian itu juga tidak membabitkan masalah keluarga namun, kita masih meneruskan siasatan susulan berhubung kejadian ini,” katanya.

Rekod Ciuman Mulut Paling Lama Di Dunia

Rekod comolot paling lama di dunia kini dipegang pasangan gay Nontawat Jaroegenasornsin (31) dan Thanakorn Sittiamthong (28) yang berasal dari Thailand. Pasangan gay ini berjaya bercium selama 50 jam 25 minit dan 1 saat. Rekod baru ini ialah pembaharuan selama 4 jam dari rekod lama yang dicipta tahun lalu yang juga milik pasangan dari Thailand.

Padah Ganggu Isteri Orang

PETALING JAYA – Gara-gara mengganggu isteri orang, seorang warga Afrika cedera teruk dibelasah penduduk yang berang dengan tindakannya itu.

Dalam kejadian 11 malam kelmarin, suspek bertindak mengetuk pintu rumah mangsa yang terletak di tingkat bawah blok P, Apartmen Harmoni, Damansara Damai dekat sini.

Menurut sumber, suspek mengetuk beberapa kali rumah mangsa tanpa diketahui sebab dia berbuat demikian.

“Bila mangsa buka pintu, tiada orang di luar namun niat jahat warga Afrika itu mahu menerjah masuk ke dalam rumah tidak menjadi.

“Wanita itu membuka pintu secara tiba-tiba dan dapat melihat dengan jelas suspek yang hanya berseluar pendek serta tidak berbaju.

“Terperanjat dengan kehadiran suspek, wanita itu kemudiannya menjerit sekuat hati dan jeritannya didengari oleh jiran berhampiran,” katanya.

Jelasnya, panik melihat kehadiran jiran mangsa, suspek melarikan diri dan akhirnya dicekup serta dibelasah penduduk di hadapan Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT ) Apartmen Harmoni, Zahabu Ramli berkata, sebaik mendapat laporan, anggota KRT turun ke lokasi dan melihat warga Afrika sudah tidak bermaya.

“Kami serahkan suspek kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan wanita itu kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Damansara Damai,” katanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Petani Kahwin Dua Wanita Satu Malam

ABDUL RAHMAN duduk diapit dua isterinya, Intidhar (kiri) dan Suad di Samarra kelmarin.

SAMARRA, Iraq - Seorang petani berusia 22 tahun, Abdul Rahman Nayef al-Obeidi jatuh cinta dengan dua wanita.

Namun, daripada memilih salah seorang gadis itu untuk dijadikan isteri, dia melangsungkan perkahwinan dengan mereka pada hari yang sama di sebuah kampung di tengah Iraq.

Majlis perkahwinan Abdul Rahman dan dua wanita yang merupakan sepupunya, Intidhar, 17, dan Suad, 22, berlangsung pada 6 April lalu.

Ia diadakan di rumah keluarga lelaki itu di kampung Al-Laqlaq, utara Tikrit.

Majlis itu dihadiri oleh keluarga kedua-dua pengantin wanita, saudara-mara dan rakan-rakannya yang terkejut dengan perkahwinan tersebut.

Abdul Rahman yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik berkata, dia memberitahu ibu bapanya tentang niat untuk berkahwin dengan dua sepupunya dalam satu malam.

Ibu bapa lelaki itu bersetuju walaupun kebanyakan saudara-maranya menentang idea berkenaan.

"Saya mengambil masa kurang sebulan untuk membuat keputusan muktamad kerana dua keluarga itu ialah saudara-mara saya dan saya menyintai dua gadis tersebut," katanya.

Langkah paling penting yang perlu dibuatnya adalah dengan berusaha memujuk dua wanita muda tersebut.

Intidhar berkata: "Abdul Rahman memberitahu, dia akan berkahwin dengan saya dan Suad dalam satu malam. Apakah yang anda mahu katakan?

"Saya memberitahunya, ia sesuatu yang baik jika anda melayan kami dengan adil."

Agama Islam membenarkan lelaki berkahwin dengan empat wanita namun mensyaratkan isteri-isteri perlu dilayan dengan adil.

Suad berkata, dia terkejut apabila Abdul Rahman memberitahunya tentang hasratnya itu.

Namun, katanya, Abdul Rahman memujuknya supaya dia bersetuju.

Abang sulung pengantin lelaki itu, Salman berperanan sebagai orang tengah dengan berunding dengan dua keluarga gadis itu.

Dia kemudian berjaya menjadikan impian adiknya itu sebagai satu realiti.

Bapa Abdul Rahman, Nayef Hamid berkata, dia berasa bangga terhadap anaknya itu.

Dia merupakan satu-satunya anak lelaki yang berkahwin dengan dua wanita serentak.

Ibu Abdul Rahman, Rasmiya Mohammed mempunyai pendapat yang sama seperti suaminya dan dia tidak mahu anaknya berasa sedih kerana menyintai dua gadis.

Idea Abdul Rahman berkahwin dua itu disokong ramai lelaki yang memberi komen dalam laman Facebook mengenai gambar mereka manakala kaum wanita menentangnya.

"Lelaki ini seorang hero. Tiada seorang pun yang pernah melakukannya sebelum ini dan namanya patut dimasukkan dalam Guinness World Records," komen Ali Bassi Abbar.

Namun, Sara Yasser memberikan komen dengan sinis.

"Kasihan lelaki itu, dia tidak mahu melukakan hati salah seorang daripada mereka. Dia seorang lelaki yang baik," katanya.

Seorang lagi wanita, Sara Saad mengkritik dua pengantin baharu wanita tersebut dengan menyatakan bahawa setiap wanita yang bersetuju dengan perkahwinan itu adalah seperti tidak mempunyai perasaan dan maruah. - AFP

Tilam Termahal RM90,500 Seunit

DUA model Harvey Norman mencuba tilam mewah Sealy pada majlis pelancaran pesta tilam di Mutiara Damansara, Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA – Tilam Posturepedic Palatial Crest berjenama Sealy yang ditawarkan pada harga RM90,500 seunit yang diperkenalkan oleh Harvey Norman telah mencatat sejarah sebagai tilam termahal di negara ini.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Sealy Asia (Malaysia) Sdn. Bhd., Derek Yeoh berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 10 unit tilam mewah itu sepanjang Pesta Tilam Berjenama Antarabangsa Malaysia ke-8 yang diadakan di pusat beli-belah Ikano, Power Centre, Mutiara Damansara di sini yang berlangsung sehingga 6 Mei ini.

“Kami yakin untuk mencapai sasaran tersebut berdasarkan pencapaian dan reputasi Harvey Norman selaku syarikat kelengkapan perhiasan rumah antarabangsa yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pesta berkenaan di sini semalam.

Pesta tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung.

Kanak-Kanak Bawa Tiga Bungkusan Ganja Ke Tadika

LONDON: Sekumpulan guru tadika terkejut apabila mendapati sebungkus ganja tiba-tiba terjatuh dari poket seorang budak lelaki ketika dia bermain-main, semalam.

Budak itu - identitinya dirahsiakan atas faktor perundangan - kemudian tidak ragu-ragu lagi turut menunjukkan kepada gurunya dua bungkusan lain yang berisi dadah sama tersimpan dalam poketnya. Apabila ditanya, budak itu berkata, ia adalah bahan untuk membuat rokok bapanya.

Dianggarkan dadah itu bernilai RM100 jika dibeli daripada pengedar.

Guru tadika terbabit kemudian menghubungi polis Salford bagi memaklumkan kejadian berkenaan. Hasil maklumat diberikan, polis menahan bapa tiri budak terbabit dan didakwa di Mahkamah Majistret Manchester.

Lelaki itu mengaku salah atas tuduhan memiliki dadah dan hukuman ke atasnya akan ditetapkan pada 21 Mei ini.

Sementara itu, peguam bela, Abigail Henry, berkata tertuduh menyesal dengan perbuatannya.

“Tertuduh sedar kesan buruk yang boleh menimpa anak tirinya jika dadah berkenaan ditelan atau diberi kepada kanak-kanak lain,” katanya.

Jurucakap polis pula berkata, tertuduh mengaku budak terbabit dan ibunya bermalam di rumahnya kelmarin. Katanya, tertuduh mengaku menghisap ganja dan membiarkan bungkusan dadah itu di sebelah katilnya sebelum keluar bekerja.

“Lelaki itu mendakwa anak tirinya mungkin menemui bungkusan berkenaan dan membawanya ke sekolah tanpa mengetahui apa sebenarnya bahan itu,” katanya. - TS