SAN FRANCISCO: Satu aplikasi temu janji bagi telefon pintar, semalam
menggantung akses kepada pengguna remaja selepas beberapa laporan kes
rogol membabitkan pengguna bawah umur di Amerika Syarikat.
Aplikasi dikenali sebagai Skout yang direka untuk perkhidmatan temu
janji, mengambil keputusan itu selepas mendapati ia disalahguna dan ada
remaja menjadi mangsa.
“Keselamatan masyarakat kita adalah perkara paling penting yang perlu
diberi perhatian,” kata ketua eksekutif dan pengasas aplikasi, Christian
Wiklund di dalam blognya semalam.
Beliau berkata, syarikatnya di San Francisco memantau dan menapis secara
aktif bagi memisahkan pengguna berusia di bawah usia 18 tahun dan
golongan dewasa.
“Bagaimanapun, perkembangan terbaru menunjukkan bahawa kaedah ini
nampaknya tidak memadai. Sejak kebelakangan ini kami dimaklumkan
mengenai beberapa insiden termasuk beberapa pihak yang cuba mengambil
kesempatan ke atas pengguna remaja.
“Kami memikirkan dengan serius mengenai tindakan yang perlu dilakukan.
Kami tahu Skout amat bermakna kepada golongan remaja dan mereka juga
amat penting bagi kami. Buat masa sekarang hanya inilah saja cara yang
boleh kami lakukan.
“Untuk sementara, khidmat aplikasi ini akan digantung bagi mereka yang
berusia kurang 18 tahun, sehingga kami dapat menghasilkan satu bentuk
perlindungan lebih baik,” katanya. – AFP