Kehidupan
seharian yang sibuk dan permintaan demi permintaan yang menyesakkan dari
tempat kerja dan rumah sudah pasti membuatkan kita hilang arah. Fikiran
yang berserabut boleh mengurangkan fokus kepada perkara-perkara utama
yang perlu diselesaikan. Akhirnya, kerja tak selesai dan fikiran makin
berserabut.
Untuk menjadi seorang yang produktif, kita perlu mempunyai pandangan
yang jelas dalam membezakan perkara yang penting dengan perkara yang
kurang penting. Kita harus mempunyai fikiran yang tenang untuk tujuan
ini. Ambillah langkah-langkah dibawah ini untuk menenangkan fikiran
anda.
1. Tarik Nafas
Ingat lagi bagaimana anda bersenam di waktu pagi semasa bersekolah dulu?
Ingat lagi bagaimana kita memulakan senaman dengan menarik nafas dengan
kaedah yang betul? Gunakan teknik ini untuk mula mengosongkan fikiran
anda.
2. Ambil Wudhuk
Jika anda seorang yang beragama Islam, mengambil wudhuk boleh
menenangkan fikiran. Kembali kepada fitrah manusia dapat memantapkan
lagi rohani kita dan air yang bersih boleh mengembalikan kita kepada
fitrah kejadian. Air yang segar dapat memberi tenaga dan fokus yang
diperlukan dan wajah akan pasti kembali ceria.
3. Tulis
Ada banyak perkara yang bermain di dalam fikiran anda. Anda perlu
mengenalpasti apa sebenarnya yang anda fikirkan untuk membolehkan minda
mengurus perkara-perkara ini. Cara yang paling mudah adalah dengan
menulis satu-persatu apa yang anda sedang fikirkan. Jangan cuba untuk
mengenalpasti kategori perkara-perkara ini dahulu, teruskan sahaja
menulis.
4. Kenalpasti Yang Utama
Setelah anda rasa puas dengan apa yang anda tulis, anda kini perlu
kenalpasti yang mana yang paling utama. Tandakan dengan nombor atau
gunakan “rating system” yang baik untuk membantu anda dalam proses ini.
Lebih baik lagi jika anda klasifikasikan perkara-perkara ini berpandukan
matlamat hidup anda dan apa yang paling penting dalam hidup anda;
keluarga? kerjaya? cinta?
5. Buang Yang Tidak Penting
Pangkah atau padamkan perkara-perkara yang remeh dan tidak relevan.
Perkara-perkara remeh yang anda fikirkan boleh jadi perkara seperti “Apa
yang kekasih lama aku sedang lakukan?” atau “Osama hidup lagi kah?”.
Anda akan dapat lihat yang kebanyakan perkara yang bermain di fikiran
anda sebelum ini adalah perkara-perkara yang tidak relevan dan hanya
membuatkan anda kurang produktif dalam menyelesaikan urusan harian dan
masalah-masalah lain yang lebih penting. Perkara-perkara inilah
sebenarnya yang menghalang anda untuk berfikir secara bijak.
6. Cukup Rehat & Tidur
Dengan memejamkan mata, atau memandang jauh ke arah kehijauan alam akan
dapat memberi anda perasaan yang tenang. Tidur yang tidak cukup bermakna
minda anda tidak mendapat rehat yang secukupnya. Sebab itu minda anda
liar berfikir. Pejamkan mata untuk seketika di waktu rehat anda, atau
keluar ambil angin dalam keadaan yang selesa dan positif.
7. Kurangkan menonton TV atau membaca akhbar di waktu pagi
Akhbar harian kita saban hari penuh dengan berita-berita yang menyanyat
hati. Jenayah, kemalangan, bencana dan lain-lain boleh memberi tenaga
yang negatif kepada kita. Jika anda mengamalkan tabiat membaca
berita-berita ini di waktu anda bersarapan, anda akan bermula hari anda
dengan pandangan yang negatif. Bangun pagi sahaja fikiran anda sudah
berserabut. Elakkan atau tukar masa anda untuk membaca akhbar.
Menonton TV dengan berlebihan akan membuatkan fikiran anda menerawang
jauh tentang perkara-perkara yang cuba disampaikan dalam rancangan yang
anda tonton. Fokus anda kepada perkara yang lebih penting akan terjejas
kerana anda mengizinkan info-info dan idea-idea baru ini masuk ke dalam
minda anda. Kurangkan menonton TV.
8. Kembali Kepada Alam
Dalam kehidupan kota yang sibuk dan sesak, kita semua bergerak dengan
pantas. Teknologi masa kini menjadikan kehidupan harian semakin laju.
Mengembalikan diri kepada alam semulajadi akan dapat melambatkan waktu
dan membolehkan anda hidup dalam waktu kini; Bukan hidup dalam waktu
dahulu atau waktu hadapan, di mana anda terkejar-kejar dengan impian
demi impian dan dilambatkan pula dengan kisah-kisah sedih dan sesalan
demi sesalan tentang apa yang sudah pun berlaku. Bawa keluarga anda
mandi air terjun atau pergi memancing dengan rakan, dan waktu akan
menjadi perlahan bagi anda. Bila waktu bergerak perlahan, anda akan
dapat memberi fokus.
9. Lepaskan
Anda risau tentang sesuatu? Anda rasa tidak puas tentang apa yang telah
anda lakukan? Rasa marah? Berdendam? Tertekan? Cara yang paling mudah
untuk mengosongkan fikiran yang berserabut adalah dengan mengalah dan
melepaskan. Kita perlu menjadi seorang yang berjiwa mantap dan tegas
dalam mengawal perasaan untuk membolehkan diri maju ke hadapan. Walaupun
perasaan-perasaan ini adalah semulajadi, tetapi kebanyakannya adalah
tidak menguntungkan. Fikirkanlah.
10. Kemas Ruang Anda
Tempat kerja atau kediaman anda perlu sentiasa berada dalam keadaan yang
kemas. Mata kita sentiasa melihat, dan melihat keadaan yang tidak kemas
sedikit-sebanyak akan mempengaruhi minda anda. Kita cuma tidak sedar
akan hakikat ini. Ambillah tindakan dan inisiatif untuk mengemas dan
anda pasti akan mendapat tenaga yang baru.
11. Berkongsi Masalah
Jangan simpan permasalahan anda. Jika anda mempunyai kekasih atau
seseorang yang penting dalam hidup anda, berkongsilah masalah anda
dengan mereka. Mendengar masalah orang lain juga dapat membantu anda
dalam menyelesaikan masalah anda sendiri. Kadang-kadang kita tidak sedar
tentang sesuatu yang lebih baik sebagai jalan penyelesaian. Dengarlah
dan berbicaralah dengan hati dan minda yang terbuka.
12. Sedikit Lagi
Ingat lagi perkara-perkara yang anda tuliskan dalam langkah ketiga
hingga langkah kelima? Buang separuh dari perkara-perkara ini.
13. Buat
Fikir dan buat. Jangan fikir dan terus berfikir. Buat perkara yang
paling penting dan tidak mengambil masa yang lama terlebih dahulu.
Jangan bertangguh!