Visit Lelong

Indonesia Haramkan Orang Asing Menjadi CEO Syarikat Tempatan

JAKARTA, 12 Mac (Bernama) -- Indonesia telah mengharamkan orang asing daripada memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan jawatan berkaitan dengan sumber manusia (HR) di syarikat-syarikat tempatan, berkuat kuasa 29 Februari.

Akhbar harian berbahasa Inggeris, The Jakarta Post, melaporkan bahawa di bawah peraturan Kementerian Sumber Manusia dan Transmigrasi, orang asing diharamkan daripada memegang 19 jawatan berbeza di dalam syarikat-syarikat tempatan.

Bagaimana pun, peraturan itu tidak mengkhususkan mana-mana syarikat akan menerima kesannya, kata akhbar harian itu di dalam laporan muka depannya, Isnin.

Seorang pegawai kementerian itu berkata peraturan itu akan terhad kepada syarikat tempatan milik penuh dan tidak terpakai bagi syarikat milik asing.

"Dasar itu tidak boleh diretroaktifkan, jadi kemungkinan tiada syarikat akan menerima kesan dasar itu, kata Ketua Bahagian Pekerja Asing di Kementerian Tenaga Manusia dan Transmigrasi Titin Supenti kepada the Jakarta Post.

Jawatan CEO berbeza dengan jawatan Presiden Pengarah, kata Titin, sambil mengenepikan kebimbangan bahawa peraturan baharu itu akan memaksa dilakukan penstrukturan korporat besar-besaran.

Menteri Tenaga Manusia dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar berkata peraturan itu bertujuan membuka lebih banyak peluang bagi membangunkan sumber manusia tempatan, terutama sekali jawatan peringkat pertengahan.

"Kita perlu menyokong dan memastikan beberapa kedudukan penting diisi oleh rakyat Indonesia. Jika kesemua jawatan peringkat pertengahan diisi oleh orang asing, ia akan mewujudkan rasa cemburu, yang sebaliknya akan membahayakan syarikat-syarikat berkenaan," kata Muhaimin.

Sesetengah ahli perniagaan mengkritik peraturan itu sambil menyatakannya tidak perlu kerana secara semula jadinya, perniagaan tempatan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan, yang termasuk pada peringkat pengurusan, kerana ia lebih cekap kos.

"Syarikat-syarikat perlu berbelanja besar bagi mengambil pekerja asing dan sekaligus tidak akan membuat opsyen itu kecuali wujud keperluan," kata Pengerusi Persatuan Majikan Indonesia (Apindo) Sofjan Wanandi, yang dipetik sebagai berkata.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012