Visit Lelong

Jurujual Kereta Ditahan Polis Selepas Enam Tahun Gagal Dikesan

SUNGAI PETANI, 18 Jan -- Seorang jurujual kereta yang melarikan diri selepas dipercayai terlibat dalam kes rogol dan bunuh seorang gadis kira-kira enam tahun lalu dan gagal dijejaki oleh pihak berkuasa, akhirnya ditahan polis semalam.

Suspek yang berusia 31 tahun itu berjaya ditangkap sejurus tiba dari Perth, Australia di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.

Lelaki itu dibawa pulang dari KLIA dan kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh seorang eksekutif pemasaran Chee Gaip Yap, 25, di kawasan perumahan Kelab Cinta Sayang di sini pada 14 Jan 2006.

Perintah tahanan reman sehingga 23 Jan ini terhadap suspek yang juga anak seorang ahli perniagaan bergelar Datuk diperoleh daripada Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli di sini kira-kira pukul 10.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah ACP Mohd Zakaria Ahmad yang mengesahkan penahanan tersebut berkata polis cuba mengesan suspek yang bertindak melarikan diri ke negara itu sejak 2006.

"Polis tidak pernah menutup kes ini dan sentiasa mengikuti perkembangan kes setiap dua minggu," katanya ketika dihubungi.

Katanya polis juga bekerjasama dengan rakan setugas di negara itu bagi mengawasi pergerakan suspek di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara.

"Bertindak atas maklumat berkenaan, polis semalam telah menahan suspek di KLIA selepas mendapat tahu dia telah masuk negara ini melalui penerbangan dari Australia," katanya.

Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar untuk siasatan lanjut.

Difahamkan suspek terbabit pernah ditahan polis kira-kira enam tahun lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis semasa menunggu keputusan ujian DNA tetapi suspek bertindak melarikan diri ke Australia dan memegang taraf penduduk tetap di sana sejak itu.

Mayat Chee ditemui pada awal pagi 15 Jan 2006 dalam keadaan separuh bogel, ditemui di Jalan Kelab Cinta Sayang dan dipercayai dirogol. Kejadian berkenaan berlaku semasa Chee keluar berjoging bersama adik perempuannya berusia 24 tahun.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012