Visit Lelong

Penuntut Kolej Swasta Didakwa Cuba Bunuh Teman Wanita

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Seorang penuntut di sebuah kolej swasta Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini atas tuduhan cuba membunuh teman wanitanya dengan menikam perut wanita itu menggunakan sebilah pisau, minggu lepas.

Osleh Osman, 20, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Mengikut kertas pertuduhan, Osleh yang tinggal di Pandan Indah, Ampang Jaya di sini didakwa menikam Nor Azlin Yusuf, 20, di sebelah kiri perutnya dengan menggunakan sebilah pisau sehingga boleh menyebabkan kematian terhadap mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bilik mesyuarat Kolej Ican, Tingkat 10, Menara Maxis Segar, Jalan Pandan Indah 4/2, Pandan Indah, Ampang Jaya di sini pada 10.30 pagi, 11 Jan lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana ia melibatkan kesalahan serius dan penggunaan senjata berbahaya.

"Mangsa yang merupakan kenalan rapat tertuduh mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan melibatkan usus kecil dan besar, kini berada di Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan. Sekiranya diberikan jaminan dikhuatiri tertuduh akan mengganggu mangsa," katanya.

Peguam M.K Thas yang mewakili Osleh pula memohon mahkamah memberikan jaminan dan mempertimbangkan jaminan pada jumlah yang berpatutan kerana anak guamnya bukan daripada golongan yang berada serta penjamin iaitu bapa saudaranya yang bekerja di sebuah firma sekuriti hanya mempunyai wang RM8,000 untuk menjaminnya.

Hakim Manira membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Feb untuk sebutan semula kes.

Mahkamah juga memerintahkan Osleh melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali dan tertuduh dikenakan syarat iaitu tidak boleh mendekati mangsa dan keluarga serta saksi-saksi pendakwaan.

Bapa saudara tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012