Visit Lelong

Ah Long Cuba Taktik Baru

KUANTAN - Pemberi pinjaman wang haram (ah long) tidak pernah kering idea memikirkan taktik terbaru untuk meneruskan kegiatan haram mereka walaupun pelbagai usaha termasuk tindakan penguatkuasaan sentiasa dijalankan pihak berkuasa termasuk polis dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi membendung aktiviti itu di sini.

Selepas iklan secara terbuka mereka digempur pihak berkuasa, sindiket itu kini lebih cermat mengedar risalah dan iklan pinjaman wang itu untuk terus memerangkap mangsa.

Mereka kini menggunakan surat yang lengkap dengan alamat syarikat tertentu untuk mengedar iklan perkhidmatan melalui pos.

Sindiket juga dipercayai menawarkan pinjaman mudah dengan menyasarkan golongan peniaga dan pemilik syarikat sebagai sasaran.

Seorang pengurus sebuah syarikat di Jalan Beserah di sini yang mahu dikenali sebagai Shima, 36 berkata, dia menerima sepucuk surat berisi iklan pinjaman wang mudah yang dialamatkan ke pejabatnya itu beberapa hari lalu.

Menurutnya, surat bersampul putih itu sama dengan surat-surat lain yang diterima pejabatnya bagaimanapun atas nama ‘pengurus’ dan bukan namanya.

“Saya dapati kandungan surat itu adalah iklan pinjaman wang mudah yang dihantar seorang agen lengkap dengan nombor telefon untuk dihubungi.

“Saya terus asingkan surat ‘sampah’ itu bagaimanapun tiba-tiba terdetik untuk mencuba menghubungi nombor yang tertera bagi mengetahui secara lebih lanjut muslihat mereka,” katanya.

Shima berkata, seperti kandungan iklan yang tertera, lelaki yang menjawab panggilan memberitahu syarikatnya sedia untuk membantu pemilik syarikat dan peniaga dengan menawarkan pinjaman mudah bagi membesarkan peniagaan masing-masing.

“Lelaki itu memberitahu mereka dari syarikat perunding kewangan namun turut menyediakan perkhidmatan pinjaman wang atau modal kepada peniaga yang berminat untuk membuka atau membesarkan perniagaan.

“Pada masa yang sama, saya diberitahu, syarikat itu telah berjaya membantu ramai peniaga dan pengusaha syarikat mengembangkan perniagaan dalam pelbagai bidang,” katanya.

Dia berkata, antara tawaran yang dijanjikan termasuk, kadar faedah yang rendah dan boleh dirundingkan, mudah, kelulusan segera, tidak memerlukan banyak dokumen, perkhidmatan dari pintu ke pintu dan banyak faedah lain yang akan dinikmati peminjam.

“Saya cuba mendapatkan alamat syarikat tersebut tetapi lelaki itu mengelak namun mendakwa perkhidmatan yang disediakan itu sah dan berlesen.

“Saya agak curiga memandangkan iklan dalam bahasa Inggeris dan Cina itu hanya dicetak atas kertas A4 tanpa sebarang nama atau nombor pendaftaran syarikat,” katanya.

Menurutnya, dia terpanggil untuk berkongsi isu itu kerana percaya ramai lagi yang turut menerima iklan tersebut.

“Tawaran pinjaman yang disediakan amat menarik dan boleh memperdaya peminjam terutama bagi mereka yang menghadapi masalah untuk membuat pinjaman dengan institusi kewangan yang sah,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012