Visit Lelong

Jual Sijil MC Palsu RM15

BATU PAHAT – Setelah hampir setahun mengaut keuntungan dengan menjual sijil cuti sakit (MC), kegiatan seorang pemuda terbongkar apabila dia ditahan polis di kediamannya pada 7 Mac lalu.

Penahanan itu susulan daripada laporan polis yang dibuat seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di sini yang menafikan pernah mengeluarkan sijil MC berkenaan.

Ketua Polis Batu Pahat, Asistan Komisioner Din Ahmad berkata, pengadu membuat laporan polis apabila dia dihubungi oleh sebuah syarikat swasta yang bertanyakan MC yang tertera namanya.

Katanya, syarikat terbabit meragui sekeping MC yang diberikan oleh pekerjanya, lalu menghubungi pegawai perubatan yang namanya tertera pada sijil MC berkenaan.

“Pemuda ini cukup licik apabila dia menggunakan nama pegawai perubatan yang sememangnya wujud di hospital dan juga klinik kesihatan untuk mengaburi majikan pembeli sijil MC berkenaan.

“Sijil MC berkenaan dijual dengan harga RM15 setiap keping. Dia dipercayai telah menjual lebih 100 keping sijil MC dalam tempoh setahun," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam

Menurut Din, pemuda berkenaan juga mengaku membuat sendiri sijil MC dan ketika ditahan, terdapat lapan keping sijil MC yang telah siap dicetak, selain dua keping yang siap sedia untuk diedarkan.

Katanya, polis turut merampas sebuah mesin pencetak, lima cop pegawai perubatan dan 240 kertas A4 berwarna jingga yang menyerupai sijil MC asli.

Katanya, pemuda berusia 27 tahun ini ditahan reman sehingga 11 Mac ini (esok) untuk siasatan dan polis masih mencari jumlah sebenar MC yang telah diedarkan kepada pembeli.

“Kes yang melibatkan pemuda ini akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan juga Seksyen 473 Kanun Keseksaan kerana memalsukan barang asli

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak bersekongkol dengan aktiviti ini kerana ia satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab kepada diri sendiri dan majikan.

“Orang ramai yang mengetahui aktiviti seperti ini atau yang berkaitan dengannya boleh menghubungi pihak polis dengan segera,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012