Visit Lelong

Gadai Nyawa Sedut Bisa Ular

KUANTAN - Di sebalik kejadian yang menimpa seorang pemain ular yang dipatuk ular tedung selar, Mohd Sabron Ismail, 23 di Zoo Mini Teruntum di sini, Khamis lalu, seorang pemuda India yang juga rakan sekerja, K.Mohan, 28 boleh dianggap penyelamat awal nyawa Sabron.

Biarpun berlainan agama dan bangsa, Mohan sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan menyedut bisa di tangan Sabron pada hari kejadian tersebut.

Malah akibat tindakan nekad Mohan, dia juga terpaksa ditahan di wad di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selama tiga hari sebelum dibenarkan keluar dan kini rutinnya, melawat rakannya setiap hari.

Menceritakan detik-detik mencemaskan itu, Mohan yang sudah berkawan baik dengan Sabron sejak mula bertugas dua tahun lalu memberitahu, ketika itu dia sedang memberikan makanan pada rusa manakala Sabron sedang sibuk memandikan ular yang dikenali nama “Hana” itu.

“Situasi ketika itu saya sedang membelakanginya namun tiba-tiba senyap, saya jerit panggil nama dia dua kali tapi tak disahut, hanya panggilan ketiga dibalasnya.

“Sabron meminta pertolongan saya dan memberitahu dia dipatuk ular dan sepantas kilat saya lari ke arahnya serta menepis ular itu yang masih melekat di tangan kirinya,” katanya.

Mohan berkata, selepas itu, hanya satu difikirkannya, menyedut bisa itu untuk menyelamatkan rakannya dan memberitahu ketika itu Sabron masih sedar sebelum di hantar ke hospital.

“Ketika itu apa yang terlintas, saya yakin Sabron selamat dan 10 minit kemudian dia dihantar ke hospital.

“Sabron adalah rakan yang baik, ceria, suka buat lawak dan peramah, malah sejak dia dirawat, ketiadaannya di tempat kerja memang terasa,” katanya Sabron juga gemar menyanyi lagu-lagu Inggeris.

Mohan yang juga rapat keluarga pemain ular itu turut memberitahu, setiap kali mempunyai masalah selepas meluahkan masalah kepada Sabron, pasti emosinya lebih tenang.

“Seperti rakan dan ahli keluarganya yang lain, saya bersembahyang dan mendoakan keselamatannya, semoga dia sihat kembali.

“Saya tekad nak bawa dia jalan-jalan, ceriakan hatinya kalau dia sudah sihat nanti,” katanya.

Sementara itu ayah Sabron, Kamarudin Abdullah, 56 memberitahu, dia reda jika tangan kiri anaknya terpaksa dipotong.

“Doktor ada memberitahu, memberikan tempoh 24 jam sebelum pembedahan susulan untuk membuang daging yang mati dan tempoh 48 jam sama ada tangannya dipotong atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, dia yang juga seorang tukang kayu menghargai kunjungan dan keprihatinan mereka yang mendoakan keselamatan nyawa anaknya yang kini masih bergantung pada bantuan alat pernafasan di Unit Rawatan Kecemasan (ICU) di HTAA di sini.

Katanya, dia menerima panggilan dari seluruh negara dan juga negara jiran sejak kisah anaknya dilaporkan media.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012