Lelaki Maut Ketika Cuba Lari Daripada Sekatan Polis

SHAH ALAM, 4 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki, yang cuba melarikan diri daripada sekatan polis, maut apabila motosikal yang ditunggangnya secara melawan arus merempuh sebuah kereta Perodua Myvi di Persiaran Masjid di sini, awal hari ini.

Aidil Hamidi Ismail, 33, dari Negeri Sembilan, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian muka dan kepala.

Ketua Ops Samseng Jalanan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ASP Hambazi Abd Rahmat berkata dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, lelaki yang menunggang dari arah Bulatan Setia Jasa berhampiran Seksyen 10 di sini, bertindak nekad berpatah balik sebaik menyedari terdapat sekatan polis, kira-kira 200 meter di hadapannya.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Hambazi berkata dalam Ops Samseng Jalanan yang bermula kira-kira 1 pagi tadi, sebanyak 115 saman dikeluarkan dan sembilan motosikal disita kerana pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada lesen, tiada cukai jalan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lampu brek, pemandu kereta tidak memakai tali pinggang keledar dan tiada brek ketiga.

"Kebanyakan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan berusia antara 16 hingga 20-an termasuk beberapa pelajar sekolah," katanya.

Hambazi berkata operasi itu diadakan bagi membanteras dan mencegah kegiatan samseng jalan raya, yang bukan sahaja membahayakan diri mereka malah turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012