Visit Lelong

Tujuh Jam Bertarung Nyawa

PONTIAN - Berpantang maut sebelum ajal. Begitulah gambaran yang dapat diberikan kepada dua penyelam yang bertarung nyawa dengan terapung selama tujuh jam di kawasan perairan Tanjung Piai sebelum berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), lewat petang Jumaat lepas.

Kedua-dua lelaki berkenaan, Azman Ali, 32, dan Khairulniza Mohammad, 31, yang merupakan penyelam bebas syarikat swasta di Terengganu hampir lemas dihanyutkan arus deras dipercayai melakukan kegiatan menyelam jam 10.45 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Wan Razani Wan Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 4.45 petang oleh rakan mangsa dan seterusnya melaporkan perkara tersebut kepada APPM.

Katanya, mangsa bersama empat rakannya berada di Tanjung Piai sehari sebelum kejadian dan mendapatkan khidmat nelayan tempatan untuk ke lokasi kapal yang pernah tenggelam di kawasan Tanjung Piai.

“Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan letih dan kelaparan bersama peralatan menyelam yang masih terpasang di badan mangsa berhampiran kapal dagang MT Khaznah yang sedang berlabuh,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Wan Razani bagaimanapun tidak dimaklumkan mengenai tujuan sebenar kerja-kerja penyelaman dilakukan memandangkan kawasan tersebut bukan merupakan lokasi aktiviti menyelam kerana ia berlumpur dan merupakan laluan kapal perdagangan yang sibuk.

Kedua-dua mangsa dihantar Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menerima rawatan.

Sementara itu, APMM mengesahkan menemui dua penyelam warga tempatan pada jam 6 petang di kedudukan 3.4 batu nautika barat daya Tanjung Piai.

Ketua Penguatkuasa, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, sebuah bot, Kilat 18 dengan empat kru dan KM Bidong dari Daerah Maritim Johor Bahru dikejarkan ke tempat kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat.

“Siasatan awal mendapati dua penyelam tersebut bertolak dari Jeti Tanjung Piai kira-kira jam 10 pagi dengan menggunakan sebuah bot kayu enjin sangkut 40 kuasa kuda dengan lima kru.

“Mereka telah mula menyelam pada jam 11 pagi di kedudukan lima batu nautika tenggara Tanjung Piai namun sehingga jam 1 petang dua penyelam ini tidak timbul.

“Siasatan juga mendapati tujuan mereka menyelam adalah untuk mencari bangkai kapal karam lalu mengambil gambar sebagai koleksi” katanya kepada Sinar Harian.

Zulkifli berkata, APMM akan membuat siasatan menyeluruh mengenai kejadian ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung sebarang aktiviti yang menyalahi undang–undang maritim negara.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012