KUALA LUMPUR – Pelakon remaja, Fiffy Natasya yang kini sudah meningkat
dewasa tidak takut untuk mencuba pelbagai watak dalam lakonan termasuk
watak hitam dan liar.
Dia yang kini sudah memasuki umur 19 tahun telah bersetuju membawakan
watak jenis berkenaan dalam filem ketiganya berjudul Leftwings.
“Memang orang cakap watak hitam itu banyak kesan buruk buat artis. Sebab takut orang lebel artis tertentu itu liar.
“Ya saya memang takut orang kata saya liar, tapi pada masa yang sama apa
yang saya lakonkan itu hanya rekaan watak semata-mata. Sedangkan dalam
realiti kehidupan saya sebenarnya orang biasa yang masih mempunyai
keluarga yang akan tegur jika saya buat silap,” kata Fiffy yang dipetik
dari Pancaindera, hari ini.
Leftwings adalah sebuah filem muzikal rock tempatan yang penuh pengajaran terutamanya buat golongan remaja.
Ia bakal ditayangkan pada 30 Ogos ini.
Pada masa yang sama, Fiffy menolak kontroversi untuk segera mencapai populariti dengan mencipta cerita yang berbaur negatif.
Katanya, dia tidak kisah untuk bermula dari bawah demi untuk membuktikan bahawa dia benar-benar berbakat.
“Saya tak akan mencari publisiti murahan. Tidak kisahlah rekaan saya sendiri atau orang lain.
“Biar lambat naik asalkan hasil kerja saya diberkati,” tambahnya yang meraikan Aidilfitri di Kota Bharu, Kelantan.