Visit Lelong

Nadia Annuar (TV3) Percaya Cinta Bekas Vokalis Kerispatih

PETALING JAYA: Personaliti TV3 Nadia Shahrul Annuar menaruh kepercayaan kepada kekasihnya yang juga bekas vokalis kumpulan Indonesia, Kerispatih iaitu Sammy Simorangkir walaupun lelaki itu dikenali sebagai individu bermasalah sebelum ini.

Pengacara program Malaysia Hari Ini itu berkata, dia cuba meletakkan kepercayaan dan enggan meragui kekasihnya itu walaupun mereka menjalin hubungan cinta jarak jauh di antara dua negara.

“Hubungan kami masih baru dan tidak sampai setengah tahun pun. Bohonglah kalau saya tidak ragu-ragu atau bimbang pada dia (Sammy), apatah lagi hubungan kami berlangsung secara jarak jauh.

“Saya takut juga dengan kisah silamnya yang pernah terlibat dengan dadah tetapi pada masa yang sama saya selalu berwaspada. Tiada ertinya sesebuah hubungan tanpa kepercayaan,” katanya ketika ditemui mStar Online, di sini.

Ditanya mengenai dakwaan kisah hubungan sulit Sammy yang tersebar di Indonesia pada Jun lalu, Nadia berkata kontroversi itu merupakan permainan industri hiburan yang cuba menjatuhkan karier kekasihnya itu.

“Itu (gosip) adalah permainan industri muzik di sana yang melakukan konspirasi untuk menjatuhkan karier Sammy. Hakikatnya, ketika cerita itu tersebar pada Jun lalu, saya berada di sana dan mengetahui perkara yang sebenar.

“Saya sedar bukan mudah dan besar cabarannya bagi kami menjalinkan hubungan jarak jauh tetapi saya cuba bina kepercayaan itu semampu yang boleh,” luahnya yang enggan memikirkan soal jodoh pada masa ini.

Nadia berkata, baik pihaknya mahupun Sammy lebih senang untuk berkongsi mengenai status mereka secara terbuka kepada khalayak umum kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.

“Tiada apa yang perlu disembunyikan mengenai hubungan kami. Saya mengenali latar belakang dan sejarahnya dan begitu juga sebaliknya.

“Status saya sebagai ibu tunggal yang mempunyai seorang anak juga tidak menjadi isu buatnya kerana dia menerima saya seadaanya,” kongsinya yang tertawan pada sikap budiman dan kelucuan Sammy.

Sebelum ini, Nadia pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan, Sulaiman @ Mohd Helmi Mohd Ilyas, 31, sebelum bercerai di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2010.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Mohamed Aaron Erwin, lima.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012