SINGAPURA - Seorang lelaki Singapura berusia 76 tahun ditemui mati di
dalam flatnya yang penuh dengan timbunan sampah sarap sehingga ke
siling, menurut satu laporan semalam.
Akhbar Straits Times melaporkan, lelaki berkenaan yang tinggal
bersendirian gemar menyelongkar tong-tong sampah sejak sedekad lalu.
Pasukan kecemasan dilaporkan mengambil masa hampir sejam untuk membuka
pintu flat berkenaan yang berkunci pada Isnin lalu selepas beberapa
jirannya mengadu mereka terhidu bau busuk dari kediaman tersebut.
Menurut laporan tersebut, petugas-petugas kecemasan mengambil masa
hampir sejam lagi untuk mencari mayat warga emas yang berada di celah
timbunan sampah sarap di flat empat bilik itu.
Dalam perkembangan berkaitan, polis mengesahkan semalam mereka menemui
mayat seorang lelaki berusia dalam lingkungan 70-an di dalam sebuah flat
perumahan awam.
Menurut polis, pihaknya menyiasat kes tersebut sebagai kematian luar biasa.
Seorang jiran mangsa pula memberitahu Straits Times bahawa tabiat lelaki
itu menyelongkar tong sampah bermula selepas isteri dan anak
perempuannya berpindah keluar dari flat berkenaan sekitar 10 tahun lalu.
Lelaki berkenaan akan menyelongkar tong-tong sampah sekitar kawasan
kediamannya dan memasukkan barangan yang dikutip ke dalam beberapa beg
plastik di flatnya.
"Apabila saya tanya apa yang terdapat di dalam beg-beg itu, dia menyatakan, harta karun," ujar jiran tersebut.
Menurut jirannya, flat lelaki itu tidak mempunyai bekalan air dan
elektrik manakala pintu depannya dipasang dengan beberapa mangga kunci.
Singapura memiliki populasi warga emas yang tinggi dengan semakin ramai orang tua tinggal bersendirian.
Menurut beberapa pegawai, sekitar 20 peratus rakyat Singapura akan berusia 65 tahun atau lebih tua menjelang 2030. - AFP