KUALA LUMPUR: “Mama tolong kak ngah. Kak ngah sakit. Kak ngah kena
bakar,” rintih seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ketika
menghubungi ibu angkatnya selepas dipercayai dibakar teman lelakinya di
kawasan semak berdekatan Seksyen 1, Wangsa Maju, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, mangsa yang keluar bersama teman
lelakinya berusia 19 tahun itu disimbah petrol sebelum dibakar
menyebabkan terbakar lebih 25 peratus dari muka hingga ke pusatnya dan
dilaporkan kritikal.
Bapa mangsa, Mat Zaki Mat Hussin, 45, berkata, anaknya, Nurul Firzanah
yang masih bersekolah dalam tingkatan empat itu pergi ke rumah ibu
angkatnya dan selepas tiba di sana, dengan kebenaran ibu angkatnya itu
dia keluar untuk berjumpa teman lelakinya dipercayai untuk bersahur.
Menurut Mat Zaki, mereka yang sudah mengenali teman lelaki mangsa dan
keluarganya tidak berasa syak untuk membenarkan mereka keluar bersama.
Bagaimanapun, katanya, jam 3 pagi, dia menerima panggilan daripada
nombor yang tidak dikenali memberitahu Nurul Firzanah dibakar berdekatan
Flat Wangsa Sari di kawasan terbabit.