JOHOR BAHRU: “Saya umpama hantu bernyawa. Walaupun masih hidup, tetapi
‘dimatikan’ oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” kata Siti Salbiah
Kasmori, 45, yang mengalami pelbagai kesukaran dalam kehidupan kerana di
dalam rekod JPN, dia sudah meninggal dunia 11 tahun lalu.
Ibu tunggal itu berkata, sejak kesilapan itu berlaku 11 tahun lalu, dia
sudah membuat aduan kepada kepada JPN tiga kali pada 2001, 2006 dan
2008, namun masalah itu belum diselesaikan.
“Masalah ini menyukarkan hidup saya. Lebih teruk, saya tidak boleh
menerima pencen arwah suami kerana secara rasminya saya sudah mati.
Selain itu, saya risau keluar rumah kerana bimbang ditahan polis.
“Malah, pada Pilihan Raya Umum ke-12 empat tahun lalu, saya tidak
dibenarkan mengundi kerana dalam rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
saya sudah meninggal dunia,” katanya yang ditemui di rumahnya di Bandar
Seri Alam, Masai, dekat sini.
Siti Salbiah berkata, dia menyedari status dirinya dikategorikan sudah
meninggal dunia oleh JPN ketika mahu memohon MyKad baru diperkenalkan
kerajaan pada 2001.