PEKAN: “Saya terpaksa tabahkan hati mengutip satu persatu
cebisan otak adik yang bertaburan atas jalan walaupun perasaan ketika
itu bercampur baur.
“Saya kuatkan semangat melakukannya dan menganggap apa yang dilakukan
itu sebagai bakti terakhir untuk arwah supaya dia dapat dikebumikan
dengan sempurna,” kata Kamarul Effendy Amir Nor Hazam, 37, abang kepada
anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang maut dalam
kemalangan, jam 12.10 tengah malam semalam.
Mangsa, Kamarul Shafrizan Amir Nor Hazam, 33, meninggal dunia di tempat
kejadian selepas motosikal ditungganginya merempuh lori yang berhenti di
bahu jalan di Kilometer 4, Jalan Pekan-Nenasi dekat Kampung Ketapang,
di sini.
Rempuhan kuat itu mengakibatkan kepala mangsa pecah dan otak bertaburan atas jalan.
Kamarul Effendy berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh rakannya pada
jam 12.30 tengah malam dan terus bergegas ke tempat kejadian.
“Setibanya di situ, saya terkedu melihat keadaan mayat adik yang cukup
menyayat hati dengan kepala pecah dan cebisan otak bertaburan.
“Saya sudah lama tidak menemui arwah dan kali terakhir beberapa bulan
lalu, namun tidak menyangka bertemu semula dalam keadaan sudah tidak
bernyawa,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir bertemu, adiknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan mereka berbual seperti biasa.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketapang Hilir, jam 9.30 pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman
ketika dihubungi berkata, ketika kejadian, mangsa yang juga buruh kasar
dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Nathan, di sini.
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa dikatakan mahu mengambil kotak
rokok dalam raga motosikal tanpa menyedari treler diletakkan di bahu
jalan berkenaan.
“Mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan belakang kenderaan itu menyebabkan kepalanya pecah,” katanya.
Difahamkan, pemilik treler itu memberhentikan kenderaan di tepi jalan
kerana mahu membuang air kecil dan lampu isyarat kecemasan turut
dinyalakan.