DUNGUN - Seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai cuba memecah
masuk sebuah rumah menerusi lantai menemui ajal apabila kepalanya
tersepit di celah lantai kayu tersebut.
Kejadian berlaku antara pukul 7 pagi hingga 3.30 petang semalam di
Kampung Sura Hujung ketika penghuni rumah berkenaan, Wan Azhan Wan
Abdullah, 43, keluar mengajar di sekolah berhampiran.
Menurut Wan Azhan, dia terkejut apabila melihat satu objek di lantai
bahagian dapur rumahnya ketika pulang dari mengajar di Sekolah Menengah
Kebangsaan Batu 7, dekat sini.
"Ketika sampai di rumah, saya terus ke ruang dapur untuk ke tandas
tetapi tiba-tiba saya terlihat kepala orang dalam keadaan mengerikan,"
ceritanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, semalam.
Dia kemudiannya terus memanggil jirannya kerana tidak percaya dengan apa
yang dilihatnya tetapi mereka mengesahkan ia adalah kepala manusia.
Katanya, dia turut memeriksa bahagian bawah rumah dan terkejut apabila
mendapati badan mangsa terjuntai di antara lantai rumah setinggi
kira-kira satu meter itu. Menurut Wan Azhan yang tinggal bersendirian di
rumah tersebut sejak tahun 1983, dia mengenali mangsa yang juga
jirannya.