Profesor Cipta Enjin Baharu Carian Internet


Profesor Massimo Marchiori menunjukkan enjin carian Volunia yang diciptanya di Universiti Padua, Itali kelmarin

ROM - Seorang professor sains komputer dari Itali, Massimo Marchiori melancarkan enjin carian Internet dan rangkaian sosial media baharu Volunia kelmarin.

Marchiori memberitahu, beliau berharap laman web dengan fungsi dua dalam satu itu akan dapat mencabar populariti enjin carian Amerika Syarikat (AS), Google.

Mengulas tentang enjin cariannya, beliau berkata, Volunia boleh digunakan untuk melihat komponen laman web tertentu bagi mencari tajuk pilihan dengan lebih cepat selain berinteraksi dengan pengguna lain yang kebetulan melihat laman web sama.

"Laman web umpama tempat tinggal. Di situ bukan sahaja terkandung maklumat tetapi juga manusia. Dimensi sosial laman web sudah pun ada, ia cuma perlu diterbitkan," katanya semasa melakukan demonstrasi penggunaan enjin berkenaan.

Menurut Marchiori, beliau percaya fungsi yang terdapat pada Volunia akan menjadi fungsi biasa pada semua enjin carian utama termasuk Google dan Yahoo tidak lama lagi.

Mengambil masa empat tahun untuk mencipta Volunia, Marchiori dipuji ramai komentator Itali kerana sanggup meninggalkan kerjaya lumayan di AS untuk kembali bekerja di Itali walaupun dengan gaji bulanan serendah 2,000 euro (RM7,905). Dia yang berusia 42 tahun mengajar di Universiti Padua di timur laut Itali.

Laman web berkenaan yang memiliki hak cipta AS dilancar kepada sebilangan pengguna terpilih kelmarin sebelum digunakan dengan lebih meluas dalam 12 bahasa termasuk Bahasa Arab, Inggeris, Jepun dan Rusia dalam masa beberapa hari lagi. - AFP



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012