Visit Lelong

Otak Berkecai Digilis Beberapa Kereta

SHAH ALAM – Seorang penunggang motosikal maut dengan otaknya berkecai dipercayai digilis beberapa kenderaan dalam kemalangan langgar lari di Persiaran Jubli Perak, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang, Ahmad Sabri Hassin @ Hashim, 26, yang menunggang motosikal Honda EX5 dipercayai terjatuh selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti sebelum motosikalnya terseret sejauh 10 meter.

Kemalangan ngeri itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala, dipercayai digilis kenderaan berat berdasarkan kecederaan dialami.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai datang dari arah sebuah kilang gula, Batu 3, di sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Subang.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa dilanggar dari belakang oleh kenderaan lain selepas mangsa keluar dari persimpangan lampu isyarat sebelum terjatuh dan digilis beberapa kenderaan lain, dipercayai kenderaan berat, menyebabkan kepalanya hancur.

“Namun, kami belum mengenal pasti kenderaan yang melanggar mangsa kerana tiada saksi melihat kejadian mahupun tampil membuat laporan polis,” katanya.

Ruslan berkata, setakat ini kejadian diklasifikasikan sebagai kes langgar lari dan polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan kenderaan yang terbabit dengan kejadian.

Beliau meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Shah Alam, Mohd Faznur Mohd Fauzi di talian 013-2504185.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk bedah siasat dan keluarga mangsa juga dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.-HMetroOnline.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012