Visit Lelong

Kekasih Berkomplot Mencuri

MUAR – Kecekapan dan tindakan pantas polis berjaya menahan sepasang kekasih yang disyaki mencuri kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan patung besar Buddha bernilai kira-kira RM100,000, kurang 12 jam selepas dilaporkan hilang.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Ahad lalu, antara jam 3 hingga 6 pagi di sebuah rumah di Taman Desa, Sungai Abong, di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek lelaki yang berusia 24 tahun dan teman wanitanya berusia 23 tahun terlebih dahulu membuat tinjauan di rumah mangsa.

Menurutnya, setelah memastikan penghuni rumah terbabit tidur, suspek mula melakukan kegiatan itu bagi mengelakkan dikesan oleh mangsa.

“Mereka melakukan perbuatan ini dengan cara masuk ke kawasan rumah mangsa dan berjaya menguis kunci kereta yang terletak di atas televisyen melalui pintu depan dengan sebatang kayu.

“Cara itu dilakukan kerana sukar untuk mendapatkan kunci kereta disebabkan pintu kaca rumah mangsa rosak. Bagaimanapun ia masih berkunci dan ada gril,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Muar, di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, suspek membawa lari kereta mangsa serta patung itu dan berkemungkinan untuk tujuan dijual.

Beliau berkata, mangsa, lelaki berusia 47 tahun merupakan pengurus syarikat swasta di sini, mula menyedari keretanya hilang pada jam 8 pagi apabila mahu menggunakan kenderaan berkenaan.

“Mangsa terkejut dan kemudiannya membuat laporan di balai polis berhampiran berhubung insiden yang berlaku.

“Berikutan kejadian itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Muar melancarkan gerakan memburu suspek,” katanya.

Katanya lagi, pihak polis berjaya menjejaki pasangan kekasih terbabit jam 11.15 pagi di Jalan Haji Abdullah, Sungai Abong.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditangkap polis tahun lalu kerana kes dadah.

“Mereka kini ditahan reman selama seminggu hingga hari ini (Khamis) dan kes disiasat mengikut seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012