Visit Lelong

Panik Dilanda Hujan Batu

PASIR GUDANG - Lebih sepuluh rumah di Kampung Sentosa, dekat sini, mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dalam kejadian jam kira-kira 4.30 petang, kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan beberapa atap rumah tercabut diterbangkan angin, manakala ada di antara penduduk memberitahu ribut berkenaan turut disulami dengan hujan batu.

Susulan kejadian terbabit, kesemua mangsa ribut menerima kunjungan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tebrau yang diketuai oleh Ketua Pemudanya, Syahrin Md Jamaludin dan wakil Bailtulmal, semalam.

Seorang mangsa, Isa Paksun, 53, berkata, ia merupakan kejadian kali ketiga sejak menetap lebih 10 tahun di kediaman berkenaan.

Menurutnya, dia segera memasang kanvas selepas melihat kebanyakan atap bumbung rumah sudah diterbangkan angin kuat sekali gus merosakkan beberapa peralatan elektrik miliknya.

“Ketika kejadian, saya tiada di rumah. Hanya isteri bersama dua anak dan seorang cucu berada di rumah. Saya diberitahu isteri mengenai kejadian sekitar jam 4 petang dan terus bergegas pulang.

“Selepas tiga kali kejadian seperti ini berlaku ke atas keluarga saya, ini adalah kali pertama menerima kunjungan lawatan yang mengambil tindakan bagi mendapatkan bantuan segera,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, semalam.

Isterinya, Junainah Sahadon, 49, berkata, kejadian berkenaan benar-benar menakutkannya, dua anak dan seorang cucu yang ketika itu sedang berehat di rumah.

“Terkejut apabila kedengaran bunyi bising pada atap rumah yang ditimpa hujan batu. Bimbang berlaku perkara tidak diingini, saya hanya memeluk cucu dan duduk berdekatan antara satu sama lain bersama anak sambil membaca ayat suci al-Quran,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Suminah Banun, 57, berkata, lantai di bahagian dapur yang berlecak pada mulanya disangka tempias kerana hujan.

“Mula-mula tidak pula makcik perasan lantai yang basah adalah kerana atap rumah tercabut diterbangkan angin. Saya hanya mop lantai sahaja.

“Tiba-tiba, saya menerima panggilan daripada Ketua Umno Cawangan Kampung Sentosa, Mohd Rahim Harun yang memberitahu sebahagian atap dapur sudah diterbangkan angin,” katanya.

Sementara itu, Syahrin berkata, kehadirannya bersama wakil Baitulmal merupakan sebahagian gerak kerja Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tebrau untuk membantu golongan memerlukan termasuklah mangsa bencana alam.

“Saya terima laporan mengenai kejadian semalam (kelmarin). Melalui pengamatan saya, kerosakan yang dialami adalah pelbagai. Ada yang rosak teruk dan ada yang rosak sedikit.

“Justeru, saya membawa wakil daripada Baitulmal untuk melakukan bancian kerosakan dialami penduduk yang terlibat bagi mendapatkan bantuan kecemasan segera.Saya percaya inisiatif Pemuda Umno pada hari ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dihadapi mangsa,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012