Visit Lelong

Peminat Buat-Buat Sakit

KUALA TERENGGANU: Kemaruk bertemu pelakon pujaan, beberapa peminat fanatik sanggup menyamar sebagai pesakit kononnya memerlukan rawatan alternatif berasaskan al-Quran yang dikendalikan Ashraf Muslim di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Tindakan mereka yang sanggup menipu semata-mata mahu menemui pelakon kacak itu bukan saja mengundang gelisah kepada Ashraf, malah menyusahkan pesakit lain yang beratur lama untuk berubat.

“Ada peminat saya yang tidak sakit pun, tapi saja datang untuk berjumpa. Tapi waktu berubat, saya tegas dan minta mereka beransur dengan cara baik,” katanya ketika ditemui pada slot ‘Seketika Cuma’ Bersama Ashraf Muslim sempena Pesta Perakaunan 2012 anjuran Kelab Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kelab Mahasiswa Perakaunan di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Ashraf berkata dia sudah lali dengan cabaran itu kerana ketika aktif berlakon lagi dia sudah dikerumuni peminat, cuma cabarannya kini berbeza ketika bertugas merawat pesakit.

“Peminat ini banyak kategori, ada yang sukakan personaliti dan ada pula yang mengagumi lakonan. Bagi saya, ia tiada masalah berkaitan populariti kerana saya kini cuma berbeza pemikiran ke arah lebih baik tetapi personaliti masih sama,” katanya.

Mengulas mengenai rawatan berasaskan al-Quran dikendalikannya itu, Ashraf berkata, ada di kalangan artis dan menteri bertemunya untuk merawat pelbagai penyakit seperti gangguan misteri, hubungan suami isteri dan penyakit fizikal.

Menurutnya, golongan artis mungkin berasa dia lebih dekat dengan mereka kerana pernah bergelar pelakon yang memahami status dan privasi golongan berkenaan menyebabkan dia menjadi pilihan.

Katanya, lebih 45 peratus daripada pesakit yang bertemunya di klinik kendaliannya di Setiawangsa dari Isnin hingga Khamis serta Jumaat dan Sabtu di Kuala Ibai di sini, menghidap kanser dan dia berikhtiar sebaik mungkin membantu menyembuhkan penyakit itu berasaskan ilmu al-Quran.

“Zaman Nabi dulu mana ada ubat seperti pil, tetapi mereka manusia seperti kita juga yang pernah sakit. Jadi rawatan ketika itu hanyalah berasaskan al-Quran dan inilah yang ingin saya ketengahkan kembali ketika berubat,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012