KUCHING: “Suami saya tidak bersalah… saya stres”. Begitulah nota terakhir yang telah ditinggalkan oleh seorang wanita sebelum ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di sini, lewat petang kelmarin (Rabu).
Tambah memilukan lagi apabila mayat Azizah Sapawi, 42, seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam ditemui oleh anak sulungnya sendiri yang baharu berusia 11 tahun di bahagian dapur rumahnya dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah rumah yang didiami mangsa bersama keluarganya di Synergy Garden di Jalan Matang-Batu Kawa.
Menurutnya, mangsa telah ditemui mati dengan tikaman pisau di bahagian tengah lehernya serta cedera di bahagian lengan kanan akibat ditebuk dengan alat dipercayai gerudi elektrik.
Bagaimanapun insiden tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat kerana siasatan awal menunjukkan tiada berlaku sebarang perbuatan berunsur jenayah.
Tambah Roslan lagi, suami mangsa, iaitu seorang juruteknik di sebuah universiti swasta memberitahu bahawa isterinya berada dalam keadaan murung sejak tiga minggu lepas.
Akibat itu, dua hari lepas, mangsa telah dihantar ke sebuah klinik dan diberikan cuti sakit sebelum dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital di Kota sentosa.
Menurut si suami, kali terakhir mangsa dilihat masih bernyawa sekitar jam 7.45 pagi ketika beliau ingin menghantar tiga orang anak mereka yang berusia 11, lapan dan lima tahun ke rumah ibu bapanya selepas melihat keadaan isterinya yang tidak lagi bermaya.
Apabila pulang pada jam 6.15 petang selepas mengambil anak mereka, si suami telah mendapati pintu pagar hadapan rumah mereka berkunci dan membunyikan hon kereta sebelum bertindak memanjat pintu pagar itu dan mengambil kunci untuk membuka pagar tersebut.
“Beliau (suami) kemudian membawa anaknya masuk dan kemudiannya mendengar anak sulungnya menjerit ‘mama’ menyebabkan dia yang sudah berada di tingkat atas rumah tersebut bergegas turun dan melihat isterinya dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah di satu bilik di bahagian dapur yang dijadikan stor,” kata Roslan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ketika ditanya pemberita mengenai kejadian tersebut semalam.
Laporan polis telah dibuat dan siasatan berhubung kejadian telah dilakukan oleh pegawai penyiasat serta pasukan forensik di tempat kejadian.
Sementara itu, rakan sekerja mangsa yang bergegas ke tempat kejadian memberitahu bahawa dia terkejut dengan kejadian tersebut dan menyifatkan mangsa seorang yang peramah dan mesra serta disukai di tempat kerja.
Pihak polis akan meneruskan siasatan sementara menunggu keputusan bedah siasat.
Sumber