Visit Lelong

Pemuda Putus Cinta Nekad Terjun Bangunan

KAMPAR: Lantaran terlalu kecewa putus cinta, seorang remaja lelaki berusia 20 tahun bertindak kurang waras naik ke tingkat lapan sebuah bangunan hotel di sini, dipercayai mahu terjun dan dalam cubaannya membunuh diri.

Difahamkan, remaja lelaki berkenaan baru putus cinta dengan kekasihnya berusia 19 tahun sebelum mengambil keputusan membunuh diri.

Remaja berkenaan dilihat menaiki bangunan itu kira-kira jam 10 malam kelmarin dan berada di penjuru tingkat lapan bangunan itu selama hampir dua jam.

Bagaimanapun, cubaan lelaki berkenaan untuk membunuh diri berjaya dipujuk dan diselamatkan seorang pengawal keselamatan bangunan itu yang juga rakan mangsa dengan bantuan ahli keluarga serta bekas kekasihnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, beberapa orang awam melihat seorang lelaki mencurigakan berada di penjuru tingkat atas bangunan itu.

Gelagat lelaki itu menarik perhatian lebih 100 orang awam yang berada di sekitar kompleks bangunan hotel itu bagi menyaksikan kesudahan ‘drama’ berkenaan.

Sementara itu, pengawal keselamatan berkenaan yang enggan dikenali berkata dia bersama rakan sekerja berjaya mengesan mangsa selepas melihatnya menyusup masuk ke dalam hotel dan menaiki ke tingkat lapan bangunan hotel.

Beliau berkata, dia terkejut mendapati mangsa menuju ke penjuru bangunan dan cuba untuk terjun.

“Saya mendekati mangsa dan memujuknya supaya tidak terjun dari bangunan itu. Namun, dia (mangsa) enggan berundur sebaliknya terus berdiri di penjuru bangunan itu.

“Saya menghubungi ahli keluarganya bagi membantu memujuknya. Bagaimanapun, selepas hampir dua jam memujuk dia berjaya diselamatkan,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, rakannya itu mengalami tekanan perasaan melampau dan tidak menyangka membuat keputusan membunuh diri dengan cuba terjun dari bangunan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh, berkata mangsa berjaya diselamatkan kira-kira jam 12.30 tengah malam selepas dipujuk oleh seorang rakan.

Beliau berkata, pihaknya menahan lelaki itu untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati, lelaki itu cuba membunuh diri selepas kecewa ditinggalkan kekasihnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012