KUANTAN – Gara-gara berang dengan leteran si isteri, seorang bekas pekerja kedai percetakan terpaksa menanggung padah meringkuk dalam penjara selama 12 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, semalam menyebabkan kematian kepada mangsa.
Tertuduh sanggup mencekik leher isterinya dan menyebabkan kematian sebelum menyimpan mayat mangsa dalam stor rumah mereka di Taman Klasik, di sini.
Hakim Datuk Mariana Yahya menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Kim Fook, 52, atas kesalahan membunuh Yap Kwee Yin, 53, Jun tahun lalu.
Sebelum itu, peguam bela Bob Arumugam merayu hukuman ringan terhadap tertuduh berikutan Kim Fook sedang menunggu kelahiran cucu pertamanya.
Namun, Mariana memberitahu keseimbangan hukuman* perlu dilakukan kerana tertuduh telah bertindak kejam dan sepatutnya seorang isteri perlu dikasihani.
Hukuman dilaksanakan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Jun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Kim Fook telah menyebabkan kematian isterinya dengan niat mencederakan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian pada 28 Jun tahun lalu di sebuah rumah nombor13, Lorong Seri Setali, Taman Klasik, kira-kira jam 7 hingga 10 pagi.
Mengikut fakta kes, kejadian disedari selepas adik mangsa bersama suaminya ke rumah tersebut kerana si mati tidak datang ke rumah atau ke kedai ubat miliknya seperti biasa.
Sesampai di rumah tersebut, mereka mencari dan akhirnya terjumpa mayat dalam keadaan terlentang di bahagian stor rumah tersebut dengan keadaan pergelangan tangan kiri dan kanan mempunyai kesan lebam serta bahagian kiri muka sedikit bengkak.
Terdapat juga kesan luka di dagu dan hidung si mati.
Sebelum itu, jiran mangsa ada mendengar tertuduh dan si mati bergaduh mengenai saman Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) namun tidak mendengar sebarang bunyi bising lagi selepas dua jam.
Selepas kejadian tersebut, tertuduh memberitahu adiknya bahawa dirinya telah menyebabkan kematian memandangkan si mati meleterinya pada pagi tersebut berkaitan saman yang diterima.
Kejadian tersebut mengakibatkan tertuduh hilang sabar dan berang lalu menolak si mati ke dinding, menghempap dan menindih badan dengan lutut sambil mencekik lehernya.
Tertuduh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan dikenakan denda.
Manakala pendakwaan kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Salim Hamid.