SIBU: Hasrat sepasang suami isteri untuk menghadiri upacara
‘ngetas ulit’ atau menamatkan tempoh berkabung berikutan kematian ahli
keluarga mereka di Sibu Jaya, di sini, tidak kesampaian apabila mereka
juga maut bersama seorang lagi ahli keluarga dirempuh sebuah kereta di
Kilometer 30 Jalan Durin-Sibu, dekat sini kelmarin.
Sebelum kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, Proton Wira dipandu
Guyang anak Seliong, 40, yang membawa isteri, Pudai anak Ringkai, 39,
dalam perjalanan dari Roban, Sarikei, mengalami kebocoran tayar,
kira-kira 1.5 kilometer dari simpang ke Sibu Jaya.
Guyang kemudian menghubungi bapa saudaranya, Jack Musin anak Juna, 63,
untuk membantu dan ketika berada di sisi kenderaan untuk menukar tayar
yang bocor, ketiga-tiga mereka tiba-tiba dirempuh sebuah Perodua Kembara
dari arah sama.
Rempuhan kuat menyebabkan Pudai tercampak ke tepi jalan, manakala Guyang
dan Jack Musin terperosok di bawah kenderaan yang merempuh mereka
sebelum diseret kira-kira 50 meter. Tiga mangsa berkenaan yang cedera
teruk beberapa bahagian badan, mati di tempat kejadian.
Anggota bomba terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mayat Jack Musin
yang tersepit di bawah Perodua Kembara itu yang terbabas dan melanggar
pembahagi jalan selepas merempuh mangsa.
Lelaki berusia 30 tahun yang memandu kereta berkenaan serta tiga penumpangnya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata mayat
ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat,
manakala pemandu Perodua Kembara dipanggil untuk diambil keterangan dan
siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.