TANJUNG MALIM - Tekanan perasaan dipercayai menjadi
punca seorang pelajar perempuan tahun tiga Fakulti Pendidikan Awal
Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) terjun dari
tingkat empat bangunan E-Learning kampus universiti itu di sini, petang
semalam.
Menurut sumber, pelajar berusia 23 tahun dan bakal menamatkan
pengajiannya dalam dua semester itu, dipercayai telah mencederakan
dirinya sebelum nekad terjun bangunan.
"Terdapat kesan darah pada dinding koridor di tingkat empat bangunan di mana pelajar terbabit dipercayai terjun.
"Kesan itu menunjukkan pelajar ini telah cedera dan nekad terjun bangunan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika kebanyakan pelajar tamat kuliah tambahan.
Kata sumber itu lagi, mangsa mati akibat kecederaan parah di kepala dan patah kaki.
Ketika kejadian, katanya, mangsa berpakaian muslimah, berseluar trek dan bertudung.
"Menurut rakan-rakannya, sebelum ini pelajar yang berasal dari Johor
Bharu itu dilihat murung dan sering bercakap sendirian dan
berkemungkinan menghadapi tekanan," katanya.
Sinar Harian cuba menjejaki rakannya, namun masih gagal kerana
mangsa berkemungkinan tidak tinggal di kolej kediaman tetapi tinggal
di kediaman luar kampus.
Dalam pada itu, seorang pembaca Sinar Harian Online dalam
mesej Facebook menulis bahawa "seorang mahasiswi Upsi semester empat,
minor Bahasa Arab terbunuh setelah terjatuh dari Bangunan E-Learning
sekitar jam 5.30 - 6.00 petang tadi."
"Kami diberitahu dari tingkat empat dan identiti mangsa juga telah
dikenal pasti dan akan disiarkan sebaik sahaja disahkan," kata
pengunjung itu.