Visit Lelong

Hubungi Ibu Sebelum Maut

ALOR SETAR - “Kami sempat bersembang di telefon sebelum dia masuk kerja jam 3 petang,” kata Mayah Ibrahim, 55, ibu kepada Konstabel Mohd Sobri Md Sidik, 22, yang maut ditembak rakan sekerja ketika bertugas di Balai Pengawal Istana, Istana Anak Bukit, petang kelmarin.

Mayah berkata, anak keempat dari lima beradik itu sangat rapat dengannya dan menghubungi keluarga hampir setiap hari semenjak mula bertugas di negeri ini hampir setahun lalu.

“Kami bersembang seperti biasa dan arwah hanya memberitahu akan keluar bekerja serta ingin membaiki motosikal. Saya pula hanya berpesan supaya kerja elok-elok,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Menurutnya, kali terakhir mereka berjumpa sewaktu arwah pulang ke kampung di Melaka pada Disember tahun lalu.

“Kami kerap berhubung melalui telefon kadang kala dua kali sehari. Dia jenis yang suka bersembang dan mudah mesra dengan orang lain. Saya kadangkala turut berpesan supaya jangan selalu makan di rumah orang, namun orang sering mempelawanya makan.

“Arwah amat berminat menjadi polis, kerana ingin mengikut jejak langkah abangnya yang kini bertugas di Sabah. Sobri pernah menolak tawaran temu duga jururawat lelaki, kerana terlalu meminati kerjaya polis,” katanya.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya ketika sedang bersiap-siap menunaikan solat Maghrib dan selepas itu segera pergi ke Kedah untuk melihat arwah.

“Kami sekeluarga tumpang tidur di rumah sewa arwah di Taman Aman di sini,” katanya.

Motif kejadian belum diketahui

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, motif kejadian masih belum diketahui dan sedang menunggu hasil laporan bedah siasat untuk mengetahui jumlah luka tembakan pada anggota badan mangsa.

“Suspek berusia 25 tahun kini ditahan reman. Kita akan minta tempoh reman maksimum untuk melakukan soal siasat secara terperinci.

“Jenazah akan disembahyangkan di sini selepas selesai proses bedah siasat, kemudian akan diterbangkan dari Kepala Batas, Kedah ke Batu Berendam Melaka,” katanya.

Difahamkan, jenazah sudah dibawa pulang dengan menaiki pesawat polis jam 4.30 petang semalam dan tiba di Alor Gajah jam 6.45 petang hari sama.

Ahmad berkata, mereka akan melihat semula anggota polis yang bertugas di kawasan istana untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, keadaan keselamatan terkawal dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menambah anggota di mana yang kurang.

“Kejadian ini sesuatu yang tragis dan tidak pernah berlaku. Kita berharap keluarga mangsa sentiasa bersabar dan pihak istana serta PDRM mencari kaedah di sebalik kejadian untuk memastikan keselamatan istana sentiasa terkawal dan terjamin,” katanya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Pasir, Machap Baru Melaka.

Hadir sama menziarahi keluarga arwah, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012