Visit Lelong

Britain Dedah Fail Zaman Penjajahan

LONDON 19 April - Britain semalam mula menyiarkan beribu-ribu fail sulit dari zaman penjajahannya, termasuk sebuah fail yang menyatakan nama bapa Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan sebuah lagi yang memberi amaran mengenai pelajar 'antikulit putih' Kenya di AS.

Fail-fail tersebut, yang kewujudannya baru didedahkan tahun lepas, meliputi pelbagai tempoh kontroversi dalam sejarah selepas kejatuhan empayar Britain termasuk pemberontakan puak Mau Mau di Kenya dan zaman darurat di Tanah Melayu pada 1950-an dan 1960-an.

Pihak berkuasa Britain membawa dokumen itu balik ke London pada waktu kemerdekaan negara-negara berkenaan kerana kandungannya sensitif, malah mereka pernah merancang untuk membakar sesetengah fail sulit itu.

Jabatan Luar hanya mengaku menyimpan dokumen tersebut pada Januari 2011 apabila empat warga emas Kenya memfailkan saman terhadap kerajaan Britain berhubung penderaan yang didakwa mereka alami di kem tahanan Britain.

Sejumlah 8,800 fail itu disiarkan dalam enam peringkat mulai semalam oleh Arkib Negara Britain dan berakhir pada November 2013.

Bapa Obama dinyatakan sebagai 'OBAMA, Barrack H' dalam senarai pelajar Kenya di AS yang disediakan oleh pegawai Britain, lapor media Britain.

Beliau mendaftar sebagai pelajar di Universiti Hawaii pada 1959 dan berkahwin dengan Anne Dunham pada 1961, dan anak mereka lahir pada akhir tahun itu.

Satu memo yang dihantar oleh seorang diplomat Britain di Washington ke London pada 1959 melahirkan kebimbangan mengenai pelajar Kenya di AS, yang dikatakan mempunyai reputasi buruk di AS kerana terjebak dengan pengaruh negatif dan kerana bersikap anti-Amerika dan antikulit putih, lapor Daily Mail.

Dokumen lain mengandungi keterangan mengenai dasar penjajah Britain merampas ternakan penduduk yang disyaki membantu pemberontak Mau Mau di Kenya pada 1950-1962, dalam konflik yang meragut lebih 10,000 nyawa.

Pegawai arkib berkata, dokumen yang dipercayai hilang termasuk fail mengenai pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali, Tanah Melayu pada 1948 apabila 24 pekerja ladang getah yang tidak bersenjata ditembak mati oleh askar Britain dalam satu operasi membanteras komunis. - AFP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012