ALOR GAJAH - Pihak polis kini giat mencari seorang lelaki yang
melarikan kereta tunangnya, dua hari sebelum majlis pernikahan mereka
berlangsung.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin
Shaharuddin, berkata, lelaki terbabit, Ramli Kamaruddin, 30, dan
beralamat di Jalan Tun Perak, Bachang, melarikan diri bersama kereta
milik tunangnya itu, dua hari sebelum pernikahan.
Menurutnya, mangsa mengenali tunangnya setahun lalu dan mengikat tali pertunangan pada Januari lalu.
“Lelaki terbabit turut meminjam sejumlah barang kemas milik bakal
isterinya itu, kononnya mahu dijadikan contoh membeli barang kemas lain
sebagai hantaran perkahwinan.
“Selain itu, dia turut mengambil sebuah telefon bimbit dan komputer riba milik tunangnya,” katanya.
Umar Ali Saifuddin berkata, dalam kejadian berkenaan, kira-kira jam 2
petang Khamis lalu, mangsa yang berada di rumahnya ketika itu didatangi
tunangnya yang mahu meminjam kereta dan berjanji memulangkannya keesokan
pagi.
“Lelaki terbabit bagaimanapun tidak mengotakan janjinya menyebabkan mangsa cuba menghubunginya tetapi gagal.
“Mangsa yang merasakan dirinya ditipu membuat laporan polis dan
mengambil keputusan membatalkan majlis perkahwinannya yang sepatutnya
berlangsung kelmarin (Sabtu),” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh bertunang, lelaki terbabit turut menjalin
hubungan dengan wanita lain menggunakan nama ‘Shah’ dan mendakwa bekerja
sebagai anggota keselamatan.
“Siasatan awal polis mendapati, lelaki ini dikehendaki polis berhubung
laporan polis yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada 2004.
“Malah, dia juga memiliki rekod jenayah lampau atas kesalahan penipuan pada 2009,” katanya.