Empat remaja yang berjaya ditahan SRS Sungai Limau ketika disoal
siasat oleh polis kerana disyaki melakukan maksiat di Jambatan Pulau
Bunting.
SUNGAI LIMAU DALAM (Yan) - “Mereka tidak sedikit pun rasa gusar atau
cuak setelah kami menahan mereka malah kelihatan ceria dan bersikap
selamba,” demikian kata Pengerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) Sungai
Limau Dalam, Shaharudin Abd Razak, 47, ketika menahan empat remaja di
Jambatan Pulau Bunting, awal pagi semalam, kerana disyaki melakukan
perbuatan maksiat.
Shaharudin berkata, sikap empat remaja terbabit yang terdiri daripada
dua lelaki dan dua perempuan berumur antara 25 hingga 17 tahun itu
membimbangkan pihaknya berikutan sikap remaja pada masa kini yang tidak
takut dengan perbuatan mereka malah bersikap selamba selepas ditahan
seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Menurutnya, semasa melakukan rondaan jam 12 tengah malam, pihaknya
mendapat maklumat bahawa terdapat remaja yang berada di jambatan
terbabit lewat tengah malam dan segera ke lokasi bagi meninjau keadaan.
“Setelah dalam perjalanan ke jambatan itu, kami dapati remaja terbabit
dapat menghidu kehadiran kami dan cuba beredar dari lokasi dengan
menaiki dua motosikal secara berasingan lelaki dan perempuan.
“Namun kami berjaya menahan mereka sebelum dibawa ke Dewan Datuk
Badruddin di sini, kira-kira jam 2.30 pagi tadi (semalam) untuk disoal
siasat mengapa mereka berada di jambatan terbabit dalam keadaan
mencurigakan,” katanya.
Shaharudin berkata, bagaimanapun empat remaja terbabit enggan memberikan
kerjasama setelah diminta untuk memberikan nombor telefon ibu bapa atau
ahli keluarga masing-masing.
Pihaknya kemudian menghubungi polis bagi menyerahkan empat remaja
berkenaan kerana mereka tidak mempunyai lesen memandu dan dua remaja
perempuan itu tidak membawa kad pengenalan bersama.
“Dua remaja perempuan itu berasal di daerah ini iaitu seorang dari Titi
Serong dan seorang lagi dari Sungai Udang manakala dua remaja lelaki
berkenaan berasal dari Pokok Sena.
“Setelah pihak polis menyoal siasat mereka, seorang daripada remaja
perempuan itu mengatakan dia pernah ditangkap khalwat di kaki Gunung
Jerai dan kesnya masih dibicarakan di mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Shaharudin berkata, Jambatan Pulau Bunting selalu
dijadikan lokasi pilihan remaja untuk melakukan maksiat atau terlibat
masalah sosial lain khususnya pada waktu lewat tengah malam kerana
keadaan jambatan itu yang gelap.
Tambahnya lagi, dia berharap ibu bapa dan ahli keluarga memainkan
peranan masing-masing dalam membendung anak mereka daripada keluar lewat
malam untuk terlibat dalam
aktiviti tidak berfaedah seperti itu.
“Kami juga selalu melakukan rondaan bagi membendung gejala seperti ini khususnya di Jambatan Pulau Bunting ini.
“Selalunya mereka yang terlibat dan berjaya ditahan kami ialah mereka
yang datang dari kawasan luar khususnya dari daerah lain,” katanya.