TOKYO – Kegiatan maksiat terancang dianggotai ejen yang terdiri daripada
warga Nigeria di Kuala Lumpur menawarkan pekerjaan kepada golongan
wanita di negara ini sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) kepada
ekspatriat Jepun dan asing di sini.
Beroperasi dari daerah panas, Ropponggi dan Kabukicho, ejen tersebut
yang dikenali sebagai Gagak Hitam menawarkan gadis-gadis Malaysia
berumur 25 tahun ke bawah pendapatan sebanyak ¥50,000 (RM2,000) bagi
perkhidmatan sebagai pengiring selama 24 jam.
Salah seorang ejen ‘Gagak Hitam’ ketika didekati The Star di Ropponggi,
Jumaat mendakwa dia boleh mengatur temu janji dengan GRO Malaysia sama
ada dari Pulau Pinang atau Kuala Lumpur.
Hanya ingin dikenali sebagai Kent, warga Nigeria berusia 29 tahun itu
mendakwa terdapat sekumpulan GRO dari Malaysia yang sudah tinggal di
beberapa hotel di bandaraya itu sejak beberapa hari lalu.
“Anda mahu gadis yang macam mana? Kami mempunyai set 1Malaysia, itu gelaran mereka di negara anda, adakah saya betul?
“Saya melanjutkan pengajian di Nilai (Negeri Sembilan) dua tahun lalu.
Saya tahu segalanya mengenai negara anda dan mempunyai rangkaian di
sana.
“Rakyat Malaysia dianggap cantik di Jepun. Anda tidak boleh
mendapatkannya dengan murah dan oleh itu, harganya lebih mahal
berbanding gadis dari Brazil, China atau Jepun.
“Saya juga mengenakan bayaran komisen sebanyak ¥5,000 (RM200) untuk membawa masuk GRO dan bayaran akan berganda,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana dia mengatur penerbangan GRO tersebut, Kent
berkata dia akan menghubungi rakannya di Malaysia dan gadis-gadis itu
akan tiba dari Kuala Lumpur dua hari selepas tempahan disahkan.
“Kami akan mengatur proses penerbangan gadis-gadis tersebut ke sini.
Anda tidak perlu risau mengenainya, hanya perlu membayar deposit dan
segalanya sudah dianggap selesai,” katanya.
Semasa perbualan itu, Kent turut menawarkan Editor Eksekutif China
Press, Yeong Kah Choon yang turut menyiasat kewujudan sindiket Gagak
Hitam di Tokyo, seorang gadis Malaysia berusia 16 tahun.
“Dia berada di sini dan fasih bercakap Bahasa Malaysia tetapi anda perlu
membayar dalam bentuk AS dolar jika ingin melanggannya kerana dia masih
dibawah umur,” katanya.
Ketika Yeong bertanya bagaimana gadis berusia 16 tahun itu yang sepatutnya bersekolah berada di Tokyo, Kent berkata:
“Anda tidak perlu bertanya mengenai perkara itu. Kami tidak menculik
sesiapa dari Malaysia dan mereka datang secara sukarela untuk
mendapatkan wang tambahan. Itu saja.”
Ditanya mengapa mereka menggelar diri sendiri sebagai Gagak Hitam, Kent berkata, ia kerana polis Malaysia.
“Polis di Malaysia pernah memanggil kami Gagak Hitam dan satu operasi dilakukan untuk menggusir kami keluar dari Malaysia.
“Saya tidak tahu sama ada anda masih ingat tetapi kami menganggap
sindiket kami sebagai Gagak Hitam kerana ketua kami masih di Kuala
Lumpur,” katanya. (The Star)