BEGINILAH keadaan kereta yang dinaiki empat anggota polis yang rosak akibat diserang kumpulan samseng.
IPOH - Empat anggota polis cemas apabila kereta mereka diserang oleh
kira-kira 20 samseng yang bersenjatakan parang dan pedang samurai di
Kawasan Perusahaan Menglembu di sini Rabu lalu.
Kejadian berlaku pukul 1.15 pagi semasa anggota polis itu cuba
menghalang kumpulan dikenali sebagai Geng 08 Vinod itu yang dalam
perjalanan untuk menyerang sebuah kumpulan samseng lain.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, Geng 08 Vinod yang
menunggang motosikal itu bertindak ganas dengan menetak kenderaan polis
tersebut berkali-kali menyebabkan cermin hadapan dan sisi pemandu
pecah.
“Dalam keadaan kelam-kabut itu, salah seorang anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara.
“Tembakan itu menyebabkan kumpulan lelaki itu bertempiaran melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim.
Mohd. Shukri berkata, ekoran kejadian itu, operasi memburu suspek telah
dilancarkan dan enam anggota geng terbabit yang berusia lingkungan 20-an
berjaya ditahan di sekitar Menglembu dan Batu Gajah dekat sini.
Ujarnya, polis turut merampas 23 bilah parang dan pedang samurai milik mereka.
Menurut beliau, dua lagi suspek berusia 23 dan 24 tahun diberkas pada pukul 2.45 pagi semalam di sekitar bandar raya ini.