CONTOH...Labu menunjukkan contoh kertas A4 seperti digunakan suspek
KUALA LUMPUR: Dengan bermodalkan sekeping kertas A4 tertera tulisan
tangan berbahasa Arab kononnya boleh dijadikan azimat, seorang lelaki
warga Pakistan berusia 30-an dikatakan sudah menipu sekurang-kurangnya
10 peniaga tempatan yang mahu menggunakan kertas berkenaan untuk
melariskan perniagaan masing-masing.
Difahamkan, lelaki terbabit menjual kertas azimat itu dengan harga
RM30,000 setiap satu sejak enam bulan lalu sebelum menghilangkan diri
dan gagal dikesan hingga kini.
Suspek juga bijak meyakinkan mangsa untuk mendapatkan azimat berkenaan
dengan memberi tempoh tiga hari untuk cuba menggunakannya sebelum
menuntut bayaran selepas tamat tempoh berkenaan.
Selepas mendapatkan bayaran, suspek menghilangkan diri manakala ‘azimat'
disimpan peniaga juga lesap menyebabkan perniagaan mangsa merosot
mendadak berbanding sebelumnya, malah ada juga segelintir peniaga yang
gulung tikar.
Dalam kejadian terbaru, seorang peniaga dikenali sebagai Labu, 20,
membuat laporan di Balai Polis Puchong, di sini, kelmarin selepas
mendakwa diperdaya lelaki terbabit hingga kerugian RM30,000.
Ads 2 - 30 Saluran TV Hanya RM30?