FRANCINE ikrar enggan ubah gaya penampilan.
LONDON: Seorang pekerja hospital yang dibuang kerja kerana memakai
terlalu banyak mekap berikrar untuk tidak mengubah penampilannya untuk
sesiapa pun.
Francine Siddaway, 28, dipecat daripada kerja tukang cuci dengan gaji
14,857 pound (RM73,111) setahun di Hospital Addenbrooke di Cambridge
enggan mengurangkan pemakaian kosmetik gaya Mesir.
Francine yang kini menganggur selepas bekerja di hospital itu selama
tiga setengah tahun, percaya dia menjadi mangsa ketika 600 kakitangan
Medirest diarahkan menerima pemotongan gaji atau hilang pekerjaan.
Dia menjelaskan mekap adalah “senjatanya” dan berkata, ia penting untuk memberi keyakinan pada dirinya.
Tukang cuci itu yang kini menimbangkan untuk mengambil tindakan
undang-undang berikrar tidak akan pernah mengubah penampilannya untuk
sesiapa jua.
“Saya suka gaya mekap orang Mesir. Mekap adalah senjata saya - ia membuat saya berkeyakinan.
“Mereka kata mekap saya ‘keterlaluan’, tetapi itu tidak mungkin kerana pekerja lain sering memuji saya.
“Saya rasa selesa dengan memakai mekap dan saya tidak nampak bagaimana
ia boleh menjejaskan kerja saya atau menyebabkan sebarang masalah
kesihatan atau keselamatan.
“Saya bekerja keras, jadi saya tidak lihat ia sebagai satu masalah. Saya rasa saya menjadi mangsa dan dilayan dengan buruk.
“Saya menghadiri temu duga untuk pekerjaan ini dengan gaya mekap seperti ini dan sejak itu sudah memakainya sedemikian.
“Jelas sekali mengapa kini mereka tiba-tiba memutuskan menghadapi
masalah dengan cara mekap saya pada waktu sama pengurangan kakitangan
dilakukan.
Francine yang diberitahu boleh tinggal di flet dekat hospital berkenaan
jika dia mampu membayar sewa diberhentikan pada 27 April lalu.
Namun, dia mengambil keputusan untuk membuat rayuan dan dihubungi
Medirest pada 1 Julai lalu mengatakan mereka tidak akan mengambilnya
bekerja semula. - DM