Kuala Lumpur: Seorang ibu cedera parah akibat ditikam di leher, manakala
tangan kanan ditoreh dengan pisau oleh anak lelakinya, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam di perkarangan Blok A Flet Sri Kelantan,
Sentul di sini, suspek turut menarik rambut dan menendang mangsa berusia
62 tahun, selain membelasah kakaknya sebelum melarikan diri.
Kakak suspek berkata, kejadian itu kali keempat adiknya menyerang beliau
dan ibu, namun kali ini paling serius hingga mendatangkan kecederaan
parah.
“Tiga kali dia serang kami, namun ibu tak mahu buat laporan polis kerana terlalu sayangkannya.
“Rupa-rupanya dia belum sedar, malah kali ini lebih teruk,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.
Katanya, sebelum kejadian beliau dan ibu ke HKL untuk melawat adiknya
itu yang dikatakan mengalami kecederaan di kepala tanpa diketahui
puncanya.
“Apabila di tiba di hospital, kami lihat teman wanitanya ada bersamanya sebelum mengambil keputusan untuk pulang.
“Namun, setiba di rumah, dia bersama teman wanita sudah menunggu kami di kaki lima flet.
“Adik kemudian menikam leher serta menoreh lengan kanan ibu sambil menarik rambut dan menendangnya hingga jatuh.
“Seakan-akan belum berpuas hati, dia menyerang dan menendang saya pula sebelum melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, ibunya yang berlumuran darah dikejarkan ke HKL oleh
orang ramai manakala beliau tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sumber polis berkata, suspek berusia 29 tahun yang mempunyai rekod
jenayah sudah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut
Seksyen 325 Kanun Keseksaan.