Visit Lelong

Pelajar Serah Tubuh Untuk Dapat Ijazah

KUALA LUMPUR: Ada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) perempuan dikesan sanggup menyerahkan tubuh kepada pensyarah semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan bagi mendapatkan diploma atau ijazah walaupun sering ponteng kuliah.

Siswi terbabit dikatakan terpaksa bertindak sedemikian kerana beranggapan sijil yang bakal diperoleh lebih berharga berbanding maruah diri.

Seorang bekas siswi sebuah IPT yang mengaku pernah menyerahkan tubuhnya kepada pensyarah mendakwa, dia sanggup mengorbankan maruah diri bagi memastikan lulus dalam peperiksaan, seterusnya memperoleh ijazah.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Farah, 26, berkata, bagaimanapun taktik itu ternyata memakan diri apabila dia tamat pengajian.

“Walaupun lulus dengan cemerlang, saya kini menghadapi masalah untuk bekerja kerana kekurangan ilmu akibat penipuan yang dilakukan ketika pengajian.

“Ketika masih menuntut, saya sering ponteng kuliah. Namun, berbekalkan wajah jelita, saya lulus cemerlang dengan bantuan pensyarah. Caranya cuma menurut kehendaknya walaupun terpaksa menyerahkan tubuh,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di sini.

Harian Metro difahamkan, terdapat segelintir pelajar yang ingin lulus sanggup ‘mengipas’ pensyarah dengan memberi pelbagai hadiah termasuk barangan berharga, malah ada yang sanggup menggadai maruah diri untuk berjaya dengan cemerlang.

Farah berkata, dia mendapat idea untuk berbuat demikian selepas diberitahu seorang pelajar seniornya yang pernah berbuat demikian.

“Pada mulanya saya hanya ingin menjalinkan hubungan sebagai rakan rapat semata-mata untuk memerangkap pensyarah itu bagi memastikan saya lulus dalam ujian tetapi akhirnya terjerat.

“Memang diakui sejak menjalinkan hubungan intim itu, saya antara pelajar yang mendapat keputusan cemerlang,” katanya yang melakukan perbuatan ‘ringan-ringan’ pada mulanya.

Bagaimanapun, katanya, kekerapan menemani pensyarah akhirnya membawa padah apabila dia menjadi mangsa kerakusan nafsu lelaki hidung belang itu.

Katanya, selepas kejadian berkenaan, mereka sering mengulangi perbuatan terkutuk itu dan sebagai balasannya dia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan semester akhir.

“Selepas tamat pengajian, saya jarang berjumpanya lagi. Kini saya baru menyesal dengan perbuatan terkutuk itu,” katanya.

Ditanya sama ada taktik jijik itu masih berlaku di IPT berkenaan, Farah mendakwa ia sudah menjadi kebiasaan tetapi kebanyakan pelajar hanya memberi hadiah mahal dan sukar menyerahkan tubuh.

“Kekesalan mula timbul apabila memasuki alam pekerjaan kerana selain kekurangan ilmu, saya tak lancar bertutur bahasa Inggeris sehingga terasa begitu asing dengan rakan sekerja lain walaupun mereka hanya mempunyai diploma,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012