MUAR: “Dia (suspek) bagaikan dirasuk. Walaupun melihat suami
tidak berdaya dan berlumuran darah, dia terus menetak hingga kakaknya
dan beberapa jiran datang menghalangnya.
“Ketika itu, mak cik tak dapat buat apa-apa kerana ditetak di kepala dan
badan menyebabkan mak cik merangkak ke depan pintu dan menjerit minta
tolong,” kata warga emas, Juriah Dimiyati@Demyati, 61, menceritakan
kejadian menyayat hati di rumahnya di Kampung Parit Kerinchi, di sini,
semalam.
Dalam kejadian jam 10.41 pagi itu, Juriah dan suaminya, Revuan@Reduan
Harun, 73, hanya berdua di rumah sebelum tiba-tiba pintu depan rumah
mereka ditendang suspek, wanita berusia 22 tahun yang juga jiran mangsa.
“Ketika itu, mak cik sibuk menyiapkan bahan untuk memasak di dapur,
manakala arwah (suami) berehat di ruang depan sebelum kami terdengar
pintu depan ditendang kuat.
“Sejurus kemudian, seorang wanita dalam keadaan tidak terurus meluru masuk dan menjerit meminta tolong.
“Saya dan suami memarahi kelakuannya kerana menyebabkan kami terkejut,
namun dia tidak mengendahkannya lalu mencapai parang di kawasan
berhampiran dan menyerang kami bertubi-tubi,” katanya ketika ditemui
selepas mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di
sini, semalam.