AMPANG - Sepasang kekasih yang tidak serik berkhalwat dan kes
tangkapan mereka masih dibicarakan di Mahkamah Syariah sekali lagi
dicekup oleh penguat kuasa agama di sebuah rumah, di Taman Chempaka pagi
semalam.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, seorang perempuan berusia 22 tahun dan
teman lelakinya berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan penguat kuasa
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan
Indah.
Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, sepasukan anggota
penguat kuasa mengetuk pintu rumah berkenaan beberapa kali sebelum
dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek beberapa minit
kemudian.
“Manakala teman wanitanya yang hanya berkemban berlari ke bilik dari ruang tamu untuk memakai pakaian.
“Kami menemui coli dan seluar pendek milik wanita itu di atas katil yang
diletakkan di ruang tamu rumah sewa pasangan tersebut dan kondom di
atas lantai.
Menurutnya, pasangan itu menyerahkan sijil nikah yang diragui berikutan tiada cop pengesahan dari pejabat agama.
“Lelaki yang sudah berkahwin itu melakukan kesalahan kerana berpoligami
tanpa kebenaran dan sanggup bernikah bersama teman wanitanya di sempadan
Thailand,” katanya.
Ahmad Nawi berkata, pasangan itu pernah ditangkap berkhalwat pada jam 1 pagi, tiga minggu lalu di kediaman sama.
Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais
1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua
tahun atau kedua-duanya sekali.