PENYELAM bersolat jemaah di masjid pertama bawah air yang mereka bina.
JEDDAH: Sekumpulan penyelam persendirian Arab Saudi berkata mereka
berjaya membina sebuah masjid di bawah air baru-baru ini dan bersolat di
dalamnya.
Masjid pertama dalam sejarah pernah dibina di dalam air.
Akhbar harian Almadina melaporkan, penyelam berkenaan menggunakan batang
paip plastik besar yang diisi pasir untuk membina masjid di kawasan
perairan di barat laut Tabuk dan berhampiran sempadan Jordan.
Seorang penyelam, Hamadan bin Salim Al Masoudi, berkata seorang rakannya
mendapat idea untuk membina masjid berkenaan pada musim panas lalu dan
mereka mengambil keputusan untuk melakukannya.
“Masjid ini adalah satu simbolik untuk menjelaskan bahawa walau di mana
sekalipun kita berada, kewajipan solat hendaklah ditunaikan,” katanya.
Al Masoudi berkata, pembinaan masjid itu selesai ketika waktu Zuhur dan
beliau bersama rakannya segera menunaikan solat Zuhur berjemaah. –
Agensi