Mangsa Selekoh Tajam, 2 Kereta Guru Bertembung

Orang ramai melihat keadaan kereta jenis Mazda setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Kuala Berang-Telemong, di Kampung Nasi Dingin, pagi kelmarin. 

HULU TERENGGANU - “Sebaik mendengar bunyi dentuman, saya terus keluar dan melihat sebuah kereta sudah terbalik, manakala sebuah lagi terbabas di bahu jalan berhampiran kawasan rumah saya,” kata Osman Hamzah, 66.

Osman berkata, dia kemudian bergegas membantu mangsa dan ketika itu mangsa menyebut perkataan ‘sakit’ beberapa kali.

Osman turut membantu mangsa keluar dari kenderaan dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 13 Jalan Kuala Berang-Telemong, Kampung Nasi Dingin, kira-kira jam 7.30 pagi hingga 8 pagi kelmarin.

Kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Mazda dipandu seorang guru lelaki dari arah Kuala Telemong-Kuala Berang dengan sebuah Honda City dipandu seorang guru wanita, dipercayai dalam perjalanan ke Batu Rakit untuk mengikuti kursus.

Sebaik tiba di tempat kejadian, dua kenderaan itu dikatakan bertembung setelah salah sebuah kereta dipercayai masuk ke laluan bertentangan hingga menyebabkan kereta dipandu guru lelaki tersebut terbalik lalu merempuh pokok, manakala Honda City pula terbabas ke bahu kiri jalan.

Menurut Osman, kemalangan seumpama itu bukan perkara asing di kawasan itu, apatah lagi terdapat satu selekoh tajam di situ yang sering menyebabkan kenderaan terbabas.

“Kemalangan di kawasan ini boleh dikatakan sering berlaku. “Pernah berlaku kenderaan terbalik di tempat sama sebelum ini. Tidak sangka, ia berulang dan syukurlah ia tidak membabitkan kemalangan maut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asistan Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir ketika ditemui semalam menjelaskan pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kemalangan berkenaan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012