ADUAN...Ayu menunjukkan laporan polis mengenai kejadian dia dicabul.
KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita kini trauma dan mengalami tekanan
perasaan serius sehingga mahu membunuh diri selepas mendakwa mengalami
gangguan seksual serta dicabul guru lelaki di sekolahnya di sekitar
Bangsar, di sini. Gangguan seksual itu didakwa berlarutan sejak lebih
tiga tahun lalu dan guru lelaki berusia 50-an yang bercucu itu pernah
meluahkan perasaan cinta kepada mangsa.
Guru berkenaan yang mahu
dikenali sebagai Ayu, 32, berkata, kemuncak gangguan itu ialah pada 30
April lalu apabila guru lelaki terbabit memegang kemaluannya selepas
sering menghantar SMS lucah kepadanya. “Saya mengalami tekanan seperti
mahu membunuh diri. Tiada siapa yang menghulurkan tangan membantu
menyelesaikan masalah, sebaliknya menuding jari kepada saya seperti saya
pula yang bersalah. “Sedangkan lelaki yang melakukan pencabulan ke
atas saya tidak dikenakan sebarang tindakan. Setiap hari di sekolah saya
perlu berdepan dengan lelaki miang itu menyebabkan saya mengalami
tekanan perasaan teruk,” katanya ketika ditemui Harian Metro.