Samun Guna Renjatan Elektrik

KARANGAN - Seorang wanita berusia 40-an disamun tiga lelaki bersenjatakan alat renjatan elektrik yang menahannya sebelum dilarikan menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Mangsa yang masih trauma berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi kelmarin ketika dia hendak masuk ke dalam kereta setelah membeli barang di pasar di Taman Alma.

Mangsa kemudiannya didatangi tiga lelaki dari arah belakang dan menekan bahagian belakang kepalanya sebelum dikenakan renjatan elektrik.

Dia kemudiannya dipaksa memasuki kereta dan kepalanya ditutup dengan kain. Selama dua jam berada dalam kereta, seorang suspek memaklumkan kepada mangsa, dia akan ditinggalkan di Ipoh.

Mangsa merayu kepada suspek supaya tidak diapa-apakan dan meminta mereka menurunkannya di sekitar Pulau Pinang.

Mangsa tidak tahu di mana dia berada sehinggalah kereta yang dinaikinya berhenti. Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa turun sebelum ditinggalkan berseorangan.

Mangsa yang membuka ikatan di tangan dan kain yang menutupi mata mendapati dia berada di ladang kelapa sawit.

Dia kemudiannya berusaha mencari jalan keluar dan menemui seorang pekerja estet yang memaklumkan dia berada di Padang Meha.

Apabila tiba di tepi jalan besar, mangsa menahan sebuah kereta lain dan meminta untuk di hantar ke stesen minyak berhampiran.

Mangsa kemudiannya menghubungi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) untuk mendapatkan bantuan.

Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim berkata, beliau mengarahkan ahli yang sedang meronda pergi ke lokasi di mana mangsa berada.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa oleh ahli PPKM ke Balai Polis Karangan untuk membuat laporan polis.

“Dari pemeriksaan dijalankan, terdapat kesan luka di bahagian belakang kepala mangsa akibat terkena alat renjatan elektrik.

“Selain kereta, mangsa turut kehilangan wang tunai, telefon bimbit dan barangan kemas, “ katanya.

Eng Khim berkata, apa yang berlaku kepada mangsa merupakan modus operandi yang sering digunakan oleh penjenayah untuk melakukan samun.

“Suspek akan menunggu mangsa untuk masuk ke dalam kereta. Sebaik membuka pintu, mereka akan datang dan mengarahkan mangsa untuk berdiamkan diri.

“Dengan cara ini penjenayah terlibat dapat mencuri kenderaan milik mangsa selain melakukan samun terhadapnya.

Eng Khim menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah yang digunakan oleh penjenayah.

“Terkini penjenayah akan merempuh di bahagian belakang kereta mangsa dan berpura-pura ia merupakan satu kemalangan. Apabila mangsa berhenti dan keluar dari kereta, dia akan disamun, ” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012