IPOH: Remaja lelaki berusia 14 tahun yang
membunuh bapa kandungnya awal pagi kelmarin, didakwa cuba menipu anggota
polis dengan mendakwa kesan luka pada tangannya adalah tanda tatu yang
baru diukir.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati kesan luka itu berpunca daripada
pergelutan suspek dengan mangsa menggunakan dua pisau di rumah mereka di
di Taman Bersatu, Simpang Pulai, di sini, kira-kira jam 1 pagi
kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa seorang hartawan, Jaswant Singh Udan Singh,
40, maut apabila ditikam lebih 10 kali di perut dan di dadanya oleh
anaknya yang kemudian mendakwa mangsa dibunuh penjenayah yang memecah
masuk kediaman mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan (gambar) yang
ditemui semalam berkata, polis masih menyiasat dakwaan suspek yang
mendakwa dia dan ibunya kerap dipukul oleh mangsa sebelum ini.
Menurutnya, motif sebenar pembunuhan itu masih disiasat dan terlalu awal untuk mengaitkan ia dengan isu penderaan.
“Polis akan meneliti kes ini dari pelbagai sudut dan memanggil beberapa
individu termasuk isteri mangsa untuk diambil keterangan,” katanya.