Visit Lelong

Taktik Belek RM100

BUKIT BERUANG - Polis negeri menasihati orang awam supaya berhati-hati dengan sepasang suami isteri dari Timur Tengah yang melakukan tipu daya melarikan wang di kaunter pembayaran di kedai yang menjalankan urus niaga secara tunai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Superintendan Soh Hock Sing berkata, modus operandi itu dikesan selepas menerima dua laporan mengenai kejadian di dua buah kompleks beli-belah ternama di negeri ini sejak Mac lalu.

“Laporan pertama diterima pada 28 Mac lalu, membabitkan kerugian RM1,050 di sebuah kedai di Dataran Pahlawan Melaka Megamall dan laporan kedua pula pada 10 April dengan jumlah kerugian RM250 di Mahkota Parade,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Hock Sing berkata, pasangan berusia 40-an itu dilihat bersama seorang kanak-kanak dipercayai anak mereka, memasuki kedai sebelum membeli barangan murah dan membayar dalam jumlah besar di kaunter pembayaran.

“Kebiasaannya ketika mahu membuat pembayaran, mereka yang mengaku sebagai warga asing memaklumkan kepada juruwang bahawa mereka tidak pernah melihat wang RM100 dan sebagainya, lalu meminta juruwang menunjukkan wang tersebut.

“Ketika juruwang menunjukkan wang yang diminta, salah seorang daripada mereka merampasnya dan berpura-pura membelek duit sebelum memulangkan duit itu dalam jumlah yang kurang,” katanya.

Menurutnya, penipuan itu berjaya dikaburi apabila seorang lagi daripada suspek berbual dengan juruwang dan kesempatan itu digunakan untuk mengambil wang tanpa disedari juruwang terbabit.

“Kedua-duanya meninggalkan kaunter selepas memperdaya dalam tempoh singkat dan juruwang hanya menyedari kekurangan duit selepas mengiranya semula,” katanya.

“Polis masih memburu suspek yang melakukan jenayah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan memperdaya,” katanya.

Justeru katanya, orang ramai diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012