Visit Lelong

Nekad Rempuh Peronda Polis

KAPAR - Tindakan sebuah kereta merempuh kereta peronda polis beberapa kali hingga nyaris mengancam keselamatan dua anggota telah memaksa mereka melepaskan tiga das tembakan ke arah kenderaan itu dalam kejadian di Lorong Raja Nala 6B, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.50 pagi ketika dua anggota dari Unit Ronda MPV sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan berkenaan.

“Ketika sedang meronda mereka kemudiannya terserempak dengan sebuah kereta Proton Perdana silver dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan yang berhenti di bahu jalan.

“Berikutan itu mereka kemudiannya cuba mendekati kenderaan terbabit bagaimanapun belum sempat mendekati, pemandu kereta berkenaan terlebih dahulu memecut kenderaannya,” katanya.

Mengesyaki sesuatu yang tidak kena, katanya, kedua-dua anggota telah mengejar kenderaan tersebut hingga sejauh kira-kira 100 meter sebelum kereta itu berhenti di tepi jalan.

“Sebaik anggota kita membuka pintu kereta untuk keluar, suspek terus mengundurkan kereta lalu merempuh kereta Unit Ronda MPV Sektor 5 yang dinaiki dua anggota itu.

“Kejadian berlaku beberapa saat dan beberapa kali anggota kita cuba keluar daripada kenderaan dan setiap kali keluar, kereta itu bertindak merempuh hingga tiga kali.

“Khuatir keselamatan terancam, anggota kita telah melepaskan tiga das tembakan ke arah kenderaan itu menerusi cermin hadapan ,” katanya.

Menyedari Polis melepaskan tembakan, beliau berkata, pemandu berkenaan sekali lagi memecut kenderaan dan akhirnya meninggalkan kereta itu di satu kawasan dengan jarak 300 meter dari lokasi kejadian tembakan.

“Sebaik anggota kita tiba, suspek telah melarikan diri dan meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan,” katanya.

Mohamad Shukor berkata, pihaknya percaya lelaki itu bertindak merempuh kereta peronda terbabit beberapa kali dipercayai untuk menggagalkan cubaan polis mengekorinya.

“Berikutan rempuhan kuat itu, bahagian hadapan kereta Unit Ronda MPV Sektor 5 mengalami kerosakan agak teruk termasuk beberapa material di bahagian enjin rosak.

“Malah cermin bahagian hadapan juga retak dan berlubang berikutan terkena kesan tembakan yang dilepaskan anggota kita.

“Bagaimanapun kita bersyukur kerana kedua-dua anggota itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sehingga kini, katanya, polis sedang mengesan lelaki berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes jenayah.

Berdasarkan siasatan, tiada rekod curi dilaporkan terhadap kereta itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertise Here

END 30.8.2012
END 30.9.2012
30.9.2012
30.6.2012